KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 mencipta sejarah apabila mempunyai Timbalan Yang Dipertua yang disandang oleh Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.
Nama Khazan yang juga Setiausaha Bersatu negeri, dicadangkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong ADUN Paka, Satiful Bahari Mamat sebelum diluluskan dengan sebulat suara oleh 32 ADUN.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Khazan menang dengan majoriti 2,797 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman yang selama tiga penggal mewakili kawasan itu.
Terdahulu, bekas Exco, Mohd Nor Hamzah, 51 mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua selepas namanya dicadangkan Ahmad Samsuri dan disokong ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari.
Selepas pelantikan itu, Mohd Nor memulakan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN ke-15 dengan majlis mengangkat sumpah ADUN didahului Ahmad Samsuri.
Buat kali pertama dalam sejarah juga Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam DUN selepas Perikatan Nasional (PN), menyapu bersih kesemua 32 kerusi pada PRN, 12 Ogos lalu.
