Kerajaan ‘No Action Talk Only’, bukan ‘Walk The Talk’

KUALA LUMPUR 18 Sept. –  Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kerajaan Madani hari ini bukannya kerajaan ‘walk the talk’, yang membawa pelbagai reform sebaliknya kerajaan ‘No Action Talk Only’.

Beliau mendakwa banyak janji reform sebelum ini tertangguh dan terus ditangguhkan termasuk janji Perdana Menteri setiap anggota Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang akan mendapat peruntukan yang adil dan saksama.

“Saya dengar kerajaan ini kerajaan ‘walk the talk’, terbukti kerajaan ini ‘NATO, No Action Talk Only’… ,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Presiden Muda itu memanggil sidang media selepas berdiri selama lebih 15 minit tetapi tidak diberi peluang bertanya soalan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Syed Saddiq mendakwa, sehingga kini anggota Parlimen kerajaan mendapat peruntukan RM3.8 juta ke RM4.5 juta tetapi kawasan Parlimen pembangkang mendapat kosong Ringgit Malaysia,

Beliau juga menarik perhatian pada Januari lalu, Perdana Menteri menjanjikan setiap anggota Kabinet akan diwajibkan mengisytiharkan harta tetapi selepas lapan bulan reform itu tidak dilaksanakan.

“Kata nak lawan rasuah, tak nak gugurkan kes, masih berulang lagi, masih gugurkan juga,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengulangi pendirian tidak akan meletakkan jawatan atau mengosongkan kerusi Parlimen Muar meskipun menerima tekanan susulan tindakannya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, tegas Syed Saddiq, pihak yang memberi tekanan itu perlu ‘cermin diri’ dahulu sebelum berkata demikian.

“Kalau nak saya kosongkan kerusi (Parlimen), cermin diri sendiri dahulu. Mereka yang menjanjikan kepada rakyat dan dipilih oleh rakyat mendapat mandat oleh rakyat berdasarkan platform integriti, melawan rasuah, tidak boleh gugurkan kes. Sebab itu mereka dipilih.

“Kalau mereka berani, pergi balik kepada rakyat, adakah mereka akan dipilih?
Kalau sebelum PRU mereka janjikan ‘menang kita gugurkan kes’, mereka akan dipilih atau tidak?” katanya.

Related posts

Leave a Comment