KUALA LUMPUR 27 Sept. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023, di sini malam tadi.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada majlis anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia (Persatuan Lim).
Hadir sama pada majlis anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Keturunan Lim Malaysia (Persatuan Lim) adalah Naib Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Lim Malaysia Lim Hock San.
Menurut kenyataan Istana Negara, turut hadir Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng.
Pada majlis itu, kedua-dua Seri Paduka berkenan menyempurnakan gimik pembukaan majlis dengan acara memotong kuih bulan dan simbolik nyalaan tanglung.
Festival Tanglung atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh adalah acara penting dari segi budaya bagi kaum Cina di Malaysia, selain sarat dengan elemen jalinan kekeluargaan dan komuniti.
Majlis Santapan Malam Festival Tanglung Perpaduan Cina 2023 dihadiri kira-kira 300 tetamu bagi melambangkan perpaduan, kepelbagaian serta keindahan budaya rakyat Malaysia.