PM dijangka jawab DNAA Zahid esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijangka menjawab mengenai isu keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, Anwar berkemungkinan menjawab di Dewan Rakyat pada pada jam 2.30 petang.

“Adakah Perdana Menteri akan menjawab? Tuan punya badan (Anwar) ada di sini. Dia buat (tanda) good itu dia jawab esok. Insya-Allah, (jam) 2.30 hingga 3.30 petang.

“Soalan itu YB (Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) boleh tanya, tetapi komitmen daripada kerajaan hari ini, kita akan berlaku adil,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata demikian ketika menjawab soalan Takiyuddin adakah Anwar akan menjawab isu DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi di Dewan Rakyat.

Anwar pada 15 September lalu tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan berhubung DNAA Ahmad Zahid di Parlimen.

“Mungkin, insya-Allah” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Nasyrul Quran dekat Putrajaya.

Minggu lalu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan supaya Anwar menjawab sendiri keputusan DNAA Ahmad Zahid dan menoktahkan isu itu di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azalina ketika penggulungan perbahasannya turut menyatakan Kerajaan Madani komited memisahkan Peguam Negara daripada kuasa pendakwaan.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah menguasai kerajaan tidak melakukan pemisahan kuasa itu.

“Dalam isu ini, kami di sini cakap kami buat. YB di sana (pembangkang) bukan sahaja tak buat, cakap pun tak.

“Kerajaan Madani ini komited kepada tatakelola yang lebih adil. Itu sebab kami #walkthetalk, mereka (pembangkang) #theydontwalk dan #theydonttalk,” katanya.

Related posts

Leave a Comment