Muda tidak menyalahi perundangan

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Tindakan Muda menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, tidak menyalahi mana-mana peruntukan perundangan di negara ini, kata Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ini kerana tindakan berkenaan dibuat secara en-bloc, selari peruntukan mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Justeru, beliau menegaskan, tiada keperluan bagi mana-mana wakil rakyat Muda mengosongkan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau pilihan raya negeri (PRN).

“Ia (menarik balik sokongan) keputusan berlandaskan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Lompat Parti yang diketengahkan bersama (di Dewan Rakyat), sebelum ini.

Malah, kita (Muda) tidak dimasukkan dalam Pakatan Harapan (PH), selain Muda sebagai parti membuat keputusan bersama dalam hal ini (menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan).

“Kerjasama antara Muda dan PH sebelum PRU15 dibuat berdasarkan ‘electoral pack’ (pakatan pilihan raya). Justeru, kita berada dan (keputusan dibuat) berlandaskan Perlembagaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muda sebelum ini secara rasmi mengumumkan keluar daripada blok kerajaan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga, pada 10 September lalu.

Rentetan itu, pelbagai pihak menggesa beliau dan Timbalan Presiden Muda merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz mengosongkan kerusi dimenangi mereka.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya mahupun Muda tidak menandatangani apa-apa memorandum persefahaman (MoU) pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 16 Disember 2022.

“Ketika proses menandatangani MoU selepas PRU15, saya ada bangkitkan soalan kepada sekretariat yang ketika itu di bawah Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR), sama ada perlu menandatangani dokumen sama atau tidak.

“Namun, beliau nyatakan tidak perlu, cuma perlu hadir (majlis menandatangani MoU) kerana kita tidak berada dalam blok Gabungan Rakyat Sabah, Gabungan Parti Sarawak, Barisan Nasional atau PH,” katanya.

Related posts

Leave a Comment