Tema tambah Membangun Bersama Islam

KOTA BHARU 23 Ogos –  Kelantan akan menggunakan logo dan tema bagi sambutan Hari Kebangsaan selari dengan Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperkenalkan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hassan bagaimanapun berkata, terdapat tambahan kepada tema asal iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Membangun Bersama Islam’.

“Untuk Kelantan, kita hanya tambah ayat di hujung iaitu Membangun Bersama Islam. Lain-lain serta logo adalah sama.

“Bagaimanapun sambutan Hari Kebangsaan akan diadakan sedikit berbeza iaitu pada waktu malam 30 Ogos dengan acara bermula jam 6.30 petang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat pertama Exco Kelantan, hari ini.

Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan akan disertai dengan pelbagai acara dan dimulakan dengan program Kelantan Berselawat sebelum diakhiri upacara bunga api.

“Kita berharap rakyat Kelantan dapat hadir beramai-ramai pada majlis yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari berkata, empat negeri di bawah pemerintahan PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mungkin akan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN.

Logo diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna terdapat pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Bagaimanapun selepas menerima kritikan banyak pihak, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, perkara itu hanyalah cadangan Pemuda PN sebagai alternatif logo dan tema sambutan.

Related posts

Leave a Comment