JOHOR BAHRU 23 Ogos – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Zulkifli Jaafar dan Dr Mohd Mazri Yahya sebagai calon mewakili gabungan itu masing-masing bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Zulkifli, usahawan kelahiran Tampoi adalah Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai, manakala Dr Mohd Mazri Yahya, pakar bedah vaskular dan endovaskular yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengumumkan calon-calon berkenaan di Bilik Gerakan Utama PN Pulai di sini.
Hadir sama Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN; Ketua Penerangan PN, Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin.
Muhyiddin berkata pemilihan calon berkenaan untuk menghadapi PRK pada 9 September imi adalah hasil keputusan jawatankuasa pemilihan PN secara bersama.
“Kedua-dua calon bukan sahaja melepasi tapisan dan saringan ketat, malah kita yakin mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di dua kawasan PRK,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.
PRK diadakan selepas pemergian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Pada 23 Julai lalu, Salahuddin yang juga juga Timbalan Presiden AMANAH menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Salahuddin dipilih menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal iaitu pada 2018 dan 2022, selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.
Pada PRU15 lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Nur Jazlan Mohamed (Barisan Nasional) yang memperoleh 31,726 undi, manakala calon PN, Loh Kah Yong dengan undi sebanyak 20,677.
Salahuddin turut menang di DUN Simpang Jeram apabila memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi, manakala seorang lagi calon, Lokman Md Don dari Barisan Nasional (BN) memperoleh 6,062 undi.
