Cukuplah! Mari kita kibarkan Jalur Gemilang

HENTIKAN komen yang menghentam dengan pelbagai label berhubung cadangan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mahu mengguna tema dan logo sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dengan Kerajaan Pusat.

Cukuplah tu!

Patriotik tidak pada tema dan logo. Apakah isunya jika Pemuda PN mahu menggunakan tema sendiri. Bukankah itu sekadar cadangan di peringkat parti? Bukannya mahu digunakan di peringkat kebangsaan, malahan negeri di bawah PN juga tidak dipaksa menggunakan logo atau tema itu.

Terengganu lebih awal menyatakan, akan menggunakan logo dan tema yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat.

Sejak idea Ahmad Fadhli diketengahkan, pelbagai label dikenakan terhadap Ketua Pemuda Pas itu, bukan sahaja oleh ahli politik tetapi juga ahli akademik, pemimpin NGO dan pelbagai lagi. Macam-macam gelaran atau label diberi.

Tidak patriotik, tidak bertanggungjawab, kurang ajar, sombong, angkuh, mengkhianati prinsip federalisme, tidak hormat kepada prinsip Rukun Negara, dan pelbagai lagi.

Amat memalukan apabila orang politik turut aktif mengecam PN sedangkan golongan politik itulah yang terlebih dahulu mempelopori tema dan logo yang berbeza ketika mereka berada di ‘luar pagar’. Usah lontar batu sembunyi tangan.

Pakatan Rakyat (PR) pernah memperkenalkan tema alternatif ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ bagi sambutan Hari Kebangsaan 2012 sedangkan tema rasmi kerajaan Persekutuan ketika itu adalah ‘55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.

Malahan empat negeri di bawah PR mempunyai tema masing-masing di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Takkan kerana sudah berada di ‘dalam pagar’ mereka lupa apa yang telah dipelopori sebelum ini. Usahlah masing-masing cuba menegakkan benang yang basah.

Tidak pasti sama ada yang mengecam itu membuat penyelidikan mengenai ‘sejarah’ tema dan logo berbeza ini. Atau ketika itu mereka ‘masih muda’, tidak sedar atau tidak peduli apa yang berlaku dan kini terikut-ikut ‘menari’ mengikut rentak hari ini.

Mereka lupa, kecaman bagi mempertahankan keputusan kerajaan hari ini dilihat berat sebelah tanpa merujuk sejarah.

Kritikan itu boleh ‘makan diri’ dan memalukan pimpinan negara. Ibarat meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri; Menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri; Kata dulang paku serpih; Guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Benar itu semua sejarah tetapi sejarah itu sepatutnya dijadikan teladan.

Justeru hentikanlah kecaman dan sindiran. Tindakan itu seolah-olah mempertikaikan wibawa Perdana Menteri yang kita ada sekarang. Adakah kecaman dan sindiran itu ditujukan juga kepada pemimpin PR dahulu? Ibarat pukul anak sindir menantu?

Adakah tidak patriotik hanya kerana ‘menolak’ tema gagasan kerajaan yang berbaur politik? Adakah berlaku perpecahan hanya kerana menggunakan logo berbeza? Adakah rakyat Malaysia berpecah selepas PR perkenal tema berbeza pada 2012?

Meminjam kata-kata Anwar Ibrahim sebelum ini (2012), “Menggunakan tema yang berbeza untuk sambutan Hari Kebangsaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memecah belahkan kerana tema sedia ada sudah mewujudkan keadaan berpuak-puak.

“Bagaimana kamu katakan moto kami yang menggesa ke arah satu negara, satu jiwa sebagai memecahbelahkan?”

Anwar berkata demikian ketika merujuk tema pilihan PR iaitu “Sebangsa, Senegara, Sejiwa” berbanding tema kerajaan BN ketika itu “55 Tahun Merdeka: Janji Ditepati’.

(Rujuk Selak “PAKATAN RAKYAT PELOPORI TEMA BERBEZA” pada 20 Ogos 2023).

Daripada kita berbahas dengan isu yang ibarat “Nasi sudah menjadi bubur atau Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, lebih baik sama-sama kita gerakkan kempen supaya rakyat termasuk pimpinan politik mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kawasan kediaman masing-masing.

Ayuh, kita kibarkan Jalur Gemilang semeriah kibaran bendera parti semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment