PUTRAJAYA 22 Ogos – Mulai semalam, 21 Ogos, semua penjawat awam dibenarkan memakai pakaian batik pada setiap hari waktu bekerja dan diwajibkan pada hari Khamis seperti sebelum ini.
Peraturan itu dinyatakan dalam surat edaran “Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Dr Zulkapli Mohamed.
Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.
“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan sejak 1985.
“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” menurut surat edaran itu.
Surat edaran itu turut menyatakan melalui ketetapan baharu itu, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, dibatalkan.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keputusan itu dibuat mengambil kira kesesuaian pakaian bekerja untuk penjawat awam dengan realiti iklim tempatan dan keperluan kecekapan tenaga di premis kerajaan.
“Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju supaya semua penjawat awam diberi kebenaran dan kelonggaran untuk memakai pakaian batik pada waktu bekerja tidak hanya pada hari Khamis seperti sebelum ini.
“Saya sudah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Energy Efficiency and Conservation Act (EECA) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Ogos 2023,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nik Nazmi berkata, turut dibangkitkan dalamn pembentangan itu adalah mengenai Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014: Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan yang antara lain menetapkan supaya suhu di bangunan dan premis kerajaan diselaraskan kepada 24°C hingga 25°C.
Katanya, keputusan yang dicapai itu mengambil kira iklim di negara ini dan juga komitmen kerajaan untuk mencapai aspirasi pembebasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal tahun 2050 dengan mengurangkan jejak karbon daripada amalan penggunaan tenaga elektrik.
“Hal ini bagi memberi keselesaan kepada penjawat awam untuk menyesuaikan cara pemakaian dengan perubahan suhu premis yang ditetapkan dalam usaha kerajaan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia.
“Cadangan perubahan terhadap kod etika pakaian ini juga akan dipanjangkan kepada semua Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
