SEPANG 22 Sept. – Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan hari ini menggantung tugas Mohd Zafir Ibrahim sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan Muzalmah Mustapha Kamal sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri, berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, Pegawai Kewangan Negeri, Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baru dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ismail dalam kenyataannya berkata, notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Sementara, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri, Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Saya juga mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) adalah masih kekal dan sah.
Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Nnnn
