“Cukuplah…Beta pun dah penat dengar”

KLANG 21 Ogos –  “Cukup-cukuplah kita berpolitik, rakyat dah penat, Beta pun dah penat dengar. Bangunlah Ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita,”, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Baginda mahu Selangor menjadi negeri hebat semula seperti mana pada zaman kegemilangan negeri Selangor tidak berapa lama dahulu.

“Usia Beta telah menjangkau 78 tahun pada tahun ini, dan adalah menjadi harapan dan impian Beta, agar sebelum Beta menutup mata dan dijemput Ilahi.

“Beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut yakni pembangunan fizikal dan kerohanian, pertumbuhan ekonomi yang mampan, perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa, di mana rakyatnya hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran yang berpanjangan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan & Ikrar Aku Janji serta Pengurusan Surat Cara Pelantikan Exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah, di sini petang ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, sejak kebelakangan ini, Selangor mula ketinggalan dari segi pelaburan dan nilai eksport barangan jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Johor malah negeri Sarawak.

“Ahli Yang Berhormat perlu sedar dengan fakta dan realiti ini, satu tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ia daripada terus menjejaskan reputasi negeri Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia. Kejatuhan ini mungkin tanpa kita sedari dan kita dilihat gagal untuk segera mengatasinya,” titah baginda.

Baginda menaruh harapan tinggi agar Exco kerajaan negeri memberi perkhidmatan cemerlang dengan turun ke padang bagi melihat sendiri keadaan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan.

Sultan Sharafuddin juga berharap , kerajaan yang dibentuk hari ini perlu segera mengatasi segala kepincangan yang ada dalam kehidupan rakyat di Selangor ini khususnya dari segi infrastruktur dan pembangunan.

“Adalah menjadi keutamaan Beta agar pihak kerajaan menyelesaikan segera masalah berkaitan kehidupan harian rakyat.

“Di sini, Beta ingin memberi penekanan kepada masalah banjir yang sering melanda Selangor yang menyusahkan kehidupan rakyat Beta. Rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan.

“Apalah gunanya kita berbangga dengan pencapaian kemajuan ekonomi pesat serta status negeri kaya serta kejayaan mencatat KDNK tertinggi di Malaysia, seandainya masalah keperluan asas rakyat pun tidak mampu diuruskan dengan baik,” titah baginda.

Baginda juga mengingatkan agar integriti semua pemimpin perlu sentiasa dipeliharadi samping mengurangkan aspek birokrasi yang menyusahkan dan membebankan rakyat ketika tampil berurusan dengan kerajaan.

Titah baginda, kerajaan perlu mengamalkan kebijaksanaan dalam pentadbiran, di samping menitikberatkan aspek kelancaran dan kelicinan pengurusan pentadbiran kerajaan serta agenda memartabatkan budaya bangsa.

“Sesuatu pelaksanaan dasar baru memerlukan suatu keputusan pantas dengan mengurangkan aspek birokrasi yang boleh menyusahkan dan membebankan rakyat yang berurusan dengan pihak kerajaan.

“Rakyat perlu sentiasa didahulukan, diutamakan dan dibela di dalam segala aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, rakyat memilih Ahli-Ahli Yang Berhormat bagi mentadbir negara dan negeri dengan harapan agar pemimpin dipilih mengutamakan agenda kemakmuran rakyat agar kekayaan negara dapat dinikmati bersama dan rakyat dapat hidup dengan selesa, makmur sehingga ke generasi akan datang.

“Oleh itu keperluan asas rakyat, pemulihan ekonomi rakyat dan kos sara hidup perlu sentiasa dititikberatkan agar mereka tidak terus dibebani dengan kemelut kemelesetan ekonomi yang begitu mencabar sekarang ini,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment