KKM batal jualan tiga produk kosmetik

PUTRAJAYA 21 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan jualan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

Tiga produk kosmetik itu adalah BL Ledehh Day Cream 2, BL Ledehh Night Cream dan For U Night Cream (15 gram).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata notifikasi produk kosmetik berkenaan sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Beliau berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Oleh itu, katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan berkenaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif.

“Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan, boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhammad Radzi berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta.

Katanya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan, juga dinasihatkan untuk menghentikan segera penggunaan dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami ketidakselesaan atau kesan advers.

Related posts

Leave a Comment