Pulihkan UMNO bukan label melabel – Akmal

SEPANG 18 Ogos – “Cukup-cukuplahlah kita nak melabel sana sini,” itu reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh susulan tular gambar beliau bersama Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein yang digantung keahliannya.

Dr Muhamad Akmal berkata, UMNO perlu dipulihkan, bukan terus dengan tuduh menuduh tanpa asas.

“Tugas kita untuk kembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, bukan menjauhkan rakyat dari UMNO,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco Kerajaan Melaka itu melalui Facebooknya.

Sejak semalam, tular gambar Dr Muhamad Akmal bersama Hishammuddin sehingga ada yang melabel beliau sebagai ‘budak Hisham’ yang didakwa berkomplot dengan bekas Naib Presiden UMNO itu.

“Game label melabel sudah bermula. Tular sejak semalam gambar saya bersama dengan dato seri hishamudin dikeluarkan,dan ada yang mengatakan bahawa saya berkomplot dengan beliau dan ada juga menyatakan bahawa saya dicop sebagai budak hisham dan sebagainya

“Suka saya menjelaskan, gambar yang ditularkan ini adalah pada perjumpaan saya dengan beliau (Hishammuddin) pada 25 September 2019.

Ketika itu, UMNO masih lagi pembangkang dan kerajaan ketika itu adalah PH (Pakatan Harapan), saya hanya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan belum lagi menjadi Ketua Pemuda UMNO (Malaysia).

“Ketika itu, beliau (Hishammuddin) juga masih lagi ahli UMNO,” katanya.

Gambar itu tular dipercayai ada kaitan dengan tindakan Akmal mengambil inisiatif
menganjurkan sesi ‘post mortem’ secara tertutup, susulan prestasi hambar direkodkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Dalam ucapannya sebelum sesi berkenaan, Muhamad Akmal mengakui ramai pihak panas hati apabila Pemuda UMNO mahu mengadakan majlis terbabit, namun ia tidak wajar menjadi satu bentuk ketakutan atau berasa terancam oleh sayap parti itu.

Terdahulu, beliau sebelum ini menegaskan, keputusan PRN lalu, jelas membuktikan UMNO perlu berani untuk berubah dengan mengutamakan suara rakyat, bukannya suara pemimpin, jika tidak mahu parti itu terus dilupakan.

“Membawa suara rakyat perlu diutamakan, bukan suara pemimpin. Berani untuk berubah jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan,” katanya sambil menambah, pemimpin UMNO mempunyai tugas untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti terbabit.

Pada PRN enam negeri, BN hanya menang dua kerusi di Selangor, iaitu DUN Sungai Air Tawar dan Dusun Tua, satu kerusi di Kelantan (Galas) dan dua keris di Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

Di Terengganu, semua calonnya tewas, termasuk dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Namun, BN Negeri Sembilan menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Related posts

Leave a Comment