Tiada keperluan PRU awal – Anthony Loke

KUALA LUMPUR 6 Sept.  – DAP menggesa Anwar Ibrahim tidak tunduk kepada tekanan untuk membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata pendirian parti adalah Perdana Menteri terus menerajui kerajaan selagi beliau mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Justeru beliau mahu Anwar menggunakan tempoh berbaki hampir 15 bulan untuk melaksanakan pelbagai reformasi dan agenda bersama, sebelum Parlimen Penggal Ke-15 tamat pada Disember 2027.

“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kita dengar banyak berita dan suara daripada pelbagai parti dan pihak beri tekanan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU16.

Pendirian kita, selagi Anwar mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada keperluan untuk tunduk kepada mana-mana tekanan bagi mengadakan PRU16.

Kita juga gesa, berharap dan sokong Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk terus terajui kerajaan hingga akhir tempoh Parlimen Penggal Ke-15,” kata Menteri Pengangkutan ketika merasmikan Kongres Wanita DAP di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Wanita DAP merangkap Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching; Timbalannya, Yeoh Bee Yin dan Naib Ketua Wanita DAP, Yeong Syefura Othman serta P Kasturiraani.

Terdahulu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, mencadangkan PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh Parlimen terbubar sendiri.

Saranan Timbalan Perdana Menteri itu turut disokong Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, Anwar juga perlu menggunakan tempoh sebelum Parlimen Penggal Ke-15 tamat untuk memastikan keperluan rakyat dapat ditunaikan, selain melaksanakan lebih banyak perubahan dan reformasi yang dirancang sebelum ini.

Katanya, selain pindaan Perlembagaan Persekutuan, Anwar perlu memastikan beberapa agenda lain seperti perundangan baharu seperti agihan peruntukan saksama wakil rakyat boleh diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kita juga harap lebih banyak dasar ekonomi yang dapat memberikan kelegaan kepada rakyat dapat diumumkan dalam Belanjawan 2027, selain dilaksanakan pada tahun depan.

“Ini bagi membolehkan orang ramai menilai dasar mahu dilaksanakan kerajaan. Kita harap semua reformasi dan agenda bersama dapat ditunaikan sebelum PRU16 diadakan,” katanya.

Sementara itu, Loke menggesa, Anwar membentangkan dua rang undang-udang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bulan depan.

“Persidangan Dewan Rakyat akan datang sudah tentu kita ada agenda yang mahu dibawa dan berharap Perdana Menteri boleh memastikan ia (RUU bagi meminda Perlembagaan) dapat dibentangkan di Parlimen.

“Ini membabitkan RUU bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri yang memerlukan pindaan Perlembagaan dan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

“Ini antara beberapa agenda penting mesti kita buktikan kepada rakyat yang kerajaan diterajui Anwar adalah kerajaan progresif dan ingin membawa perubahan positif kepada negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment