Proses pencarian 95 peratus selesai

SHAH ALAM 18 Ogos – Proses pencarian di lokasi nahas jet penumpang di Persiaran Elmina dekat sini semalam hampir selesai, dengan lima peratus lagi baki operasi itu kini tertumpu kepada mencari cebisan badan 10 mangsa yang masih tertinggal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata,, pihaknya kini dalam peringkat akhir mencari jika masih ada cebisan badan mangsa yang tertinggal.

“Semua mayat dan cebisan badan yang kita jumpa sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat dalam masa terdekat.

Sejumlah 22 waris juga sudah diambil sampel DNA untuk kita padankan dengan mayat mangsa,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian dekat sini, hari ini.

Katanya, proses pencarian peringkat akhir akan disegerakan bagi memastikan penduduk sekitar boleh melalui jalan yang ditutup akibat nahas itu.

Mengenai jumlah sebenar mangsa, beliau berkata ia hanya akan diketahui selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan terhadap mayat.

Katanya, ia mengambil kira seorang mangsa adalah pemandu e-hailing dan tidak dapat dipastikan bahawa mangsa ada membawa penumpang ketika kejadian.

“Pemandu itu sebenarnya sudah ‘reject’ penumpang jam 2. petang Kita dah periksa dengan syarikat, dia memang ‘reject’ penumpang dan kita syak dia memang seorang.

“Cuma ‘human remains’ (cebisan badan) ini bila kita buat DNA baru kita tahu ada terlebih atau tidak (mangsa). Buat masa ini, kita anggap dia (pemandu e-hailing) seorang saja,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 21 barang peribadi milik mangsa juga ditemui dan kawasan pencarian membabitkan keluasan 11,000 meter persegi.

Related posts

Leave a Comment