Zahid beri isyarat ‘gelombang biru’ di Melaka

AYER KEROH 6 Sept. –  Ketika Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi mandat kepada Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh memilih ‘partner’ pilihan raya, Pengerusi BN itu sudah memberi bayangan fenomena `gelombang biru’ mampu berulang di Melaka.

Pengerusi BN itu berkata keyakinan itu bersandarkan sokongan anak muda dan keseluruhan pengundi Melaka yang disifatkannya kini berada dalam ‘mood’ gelombang biru.

“Apabila tiba hari besar yang menentukan masa depan Melaka, jangan lupa bahawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, di Negeri Sembilan, insya-Allah gelombang biru itu akan berada di Melaka juga,” katanya menutup Karnival Anak Muda Melaka X Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, BN menyerahkan kepada Ab Rauf sebagai Pengerusi BN untuk berunding dengan mana-mana gabungan parti yang berminat bersama dalam pilihan raya itu.

“Datuk Rauf, saya beri mandat, runding elok-elok. Pilih ‘partner’ (rakan kerjasama) yang taat setia, pilih ‘partner’ yang boleh memberikan kemenangan kepada kita.

Pilih ‘partner’ yang ikhlas dan jujur dengan kita. Pilih ‘partner’ yang bercakap di belakang sama di depan sama, bukan ‘partner’ yang cakap depan buat lain, belakang buat lain.

“Datuk Rauf, berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi. Yang tujuh kerusi lagi, tak apa, kita serahkan kepada mereka,” kata Presiden UMNO itu yang turut mengingatkan rundingan berkenaan mengambil kira kepentingan rakyat Melaka dan memastikan kekuatan BN terus dipertahankan.

Sebelum ini, selain PN, gabungan PH juga berminat menjalinkan kerjasama dengan BN dalam menghadapi pilihan raya Melaka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta Ab Rauf supaya tidak menangguh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Gunakanlah sokongan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik negeri Melaka. Berikanlah peluang pada mereka. Cepat-cepatlah umum (bubar DUN). Jangan tunggu lewat, lebih cepat lebih baik. Anak-anak muda sudah bersedia,” katanya.

Ahmad Zahid turut meminta rakyat Melaka supaya yakin dengan keputusan yang bakal dibuat berhubung persefahaman politik pada PRN Melaka.

“Saya melihat Dr Akmal ( Dr Muhamad Akmal Saleh) menawarkan diri untuk tidak bertanding jika bersama dengan pihak sana. Tetapi jangan risau, Dr Akmal, ‘abang’ tahu apa yang akan berlaku.

“Abang tahu suara anak muda Melaka mahukan siapa. Saya tahu pengundi Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa. Tiba masanya nanti, saya tahu keputusan terbaik yang akan saya buat demi kepentingan Melaka,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment