KUALA LUMPUR 6 Sept. – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini menafikan pernah cuba menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr, dalam satu kenyataan berkata, AS tidak pernah berusaha untuk menentukan siapa yang memimpin Malaysia.
“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha untuk menentukan kepemimpinan politik Malaysia dan sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu,” katanya.
Kedutaan AS sebelum ini turut menegaskan bahawa hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, semalam bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.
Ketika sesi penggulungan sempena Muktamar Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan semalam, Abdul Hadi mendakwa wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan parti itu ketika satu pertemuan di Kedutaan AS di Malaysia.
Menurut Abdul Hadi, pertanyaan mengenai calon Perdana Menteri itu dikemukakan selepas dua pimpinan utama Pas, Takiyuddin Hassan dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan Duta AS.
“Pertemuan itu berlaku ketika Pas masih bersama parti lain dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR), ketika lawatan Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri yang ketika itu adalah Setiausaha Politiknya pergi ke Kedutaan AS untuk bertemu Duta AS selepas pertemuan berkenaan diatur.
Beliau seterusnya mendakwa, dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pimpinan Pas itu dimaklumkan mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan.
Abdul Hadi turut mendakwa AS bersedia membantu usaha berkenaan.
“Bagaimanapun, Takiyuddin dan Samsuri kekal istiqamah serta tidak terpengaruh dengan tawaran berkenaan. Dua-dua orang kita ini istiqamah. Tak terpengaruh,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, selepas pertemuan berkenaan, Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau hadir bersama Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata, ketika pertemuan itu, persoalan mengenai calon Perdana Menteri turut dibangkitkan, namun beliau tidak menganggap perkara berkenaan sebagai keutamaan kerana keputusan hanya perlu dibuat apabila tiba masanya.
Sementara itu, Takiyuddin pada sidang media selepas muktamar mengesahkan bahawa beliau dan pimpinan Pas pernah mengadakan pertemuan dengan wakil Kedutaan AS seperti dirujuk Abdul Hadi.
Bagaimanapun, pengesahan Takiyuddin tidak merangkumi semua dakwaan yang dibuat Abdul Hadi mengenai kandungan pertemuan berkenaan.
Takiyuddin berkata, wakil kedutaan berkenaan ada bertanya sama ada Pas ketika itu mempunyai perancangan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, Pas tidak memberikan sebarang keputusan atau pendirian mengenai perkara berkenaan.
Beliau turut menegaskan Pas tidak pernah mengharapkan campur tangan mana-mana negara luar dalam urusan politik Malaysia, termasuk ketika pentadbiran BN.
“Kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar sebab politik negara kita, negara kitalah, tak boleh campur tangan luar. Kalau parti lain nak campur tangan luar nak menjatuhkan, itu ikut merekalah. Kami tidak,” katanya
