SEREMBAN – Menteri Besar, Ismail Lasim berkata, Kerajaan Negeri Sembilan menzahirkan sokongan penuh dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Beliau juga mengambil maklum kenyataan media dikeluarkan Undang Yang Empat bertarikh semalam, namun menegaskan fokusnya ketika ini adalah melaksanakan amanah demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Saya mengambil maklum kenyataan media YTM Undang Yang Empat bertarikh 5 September 2026. Apa jua pandangan YTM Undang Yang Empat adalah hak mereka.
“Fokus saya kini adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan demi kepentingan rakyat dan negeri.
Saya bersama kerajaan negeri menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Malam tadi, Sekretariat Undang Yang Empat mengeluarkan kenyataan berkaitan Sidang Khas Pengumuman Surat Cara Proklamasi Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Kenyataan itu ditandatangani Undang Sungei Ujong yang diberhentikan, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Al-Qadri dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abd Khalid.
Mereka menuntut pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir yang didakwa ditandatangani Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.
Terdahulu, kemelut perlembagaan tercetus apabila sebahagian pembesar adat cuba melucutkan takhta Tuanku Muhriz berdasarkan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Mereka turut mendakwa memasyhurkan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu di Melaka.
Nnnn
