Seri Padukan zahir ucapan takziah

SHAH ALAM 17 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meninjau lokasi kejadian pesawat ringan terhempas di Bandar Elmina, Seksyen U16 berdekatan Lebuhraya Guthrie.

Baginda tiba pada pukul 5.40 petang dan mendengar taklimat mengenai insiden berkenaan daripada Ketua Polis Selangor  Hussein Omar Khan dan kemudian berbual dengan keluarga mangsa.

Dalam insiden tersebut, 10 individu disahkan maut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.

Sementara itu, melalui Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Johari dan sembilan mangsa lagi yang terkorban dalam nahas itu.

Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mengejut Allahyarham serta sembilan mangsa yang lain dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Di samping itu, Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan Allahyarham Johari kepada negeri Pahang Darul Makmur, khususnya dalam memperjuangkan masyarakat desa dan luar bandar.

Menurut baginda, Allahyarham Johari  merupakan seorang rakan yang akrab dengan baginda dan keluarga baginda

Related posts

Leave a Comment