SEPANG 14 Ogos – Kepemimpinan UMNO di Selangor perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan parti yang bukan sekadar ingin mengejar kuasa jangka pendek tetapi usaha yang bersungguh untuk kembali diyakini rakyat dan akar umbi parti.
Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata hala tuju dan ideologi UMNO Selangor juga perlu jelas.
” Ini penting untuk masa hadapan dan survival parti terutamanya di Selangor. UMNO Selangor juga perlu kembali mengenal pasti segmen yang perlu mereka dekati untuk diberi keutamaan dalam perjuangan UMNO.
“Semua di dalam UMNO, termasuk saya perlu muhasabah diri dan membina semula kekuatan parti supaya kita dapat kembali berdiri gagah tanpa bergantung kepada mana-mana parti,” katanya melalui Facebooknya.
Berhubung perkara ini, beliau menarik perhatian mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri Sabtu lalu yang disifatkan sebagai amaran terakhir kepada kelangsungan UMNO sebagai parti keramat orang Melayu di negara ini.
Katanya, keputusan itu tidak mampu menutup hakikat pedih bahawa prestasi BN amat lemah di negeri in apabila dari 12 kerusi yang ditandingi BN, yang menang hanyalah dua kerusi, termasuk satu yang asalnya ialah kerusi DAP.
“Malah, selain satu kes unik Sungai Air Tawar yang lebih mencerminkan kehebatan calon, PRN Selangor menyerlahkan seolah-olah semakin ramai pengundi Melayu di sesebuah kawasan, semakin susah UMNO hendak menang.
Hakikat ini harus diamati terutamanya oleh pemimpin UMNO di Selangor. Jika keputusan PRN ini bukan amaran akhir kepada soal survival parti Melayu ini, saya tidak tahu apa lagi jenis amaran yang perlu diberi sebelum kita menyedari kita sudah ditolak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, selepas 15 tahun, UMNO masih lagi ditolak, malah ramai ahli UMNO Selangor berkongsi kekecewaan dan kesedihan mereka dengan nasib parti itu di negeri ini.
Dalam senario politik kini, beliau berkata, strategi, ketrampilan dan daya tarikan parti, menjadi penentu kejayaan atau kegagalan.
Katanya, UMNO ditubuhkan untuk menyatupadukan orang Melayu, bukan milik mana-mana kelompok, justeru UMNO tidak boleh terlalu radikal sebaliknya perlu meraikan pandangan yang diurus dengan baik agar UMNO terus subur menjadi sebuah parti tempat orang Melayu berteduh.
Beliau turut merakamkan jutaan tahniah kepada semua pengundi, petugas, jentera dan calon dalam proses demokrasi di enam negeri itu.
“Ternyata kematangan demokrasi di Malaysia kian subur dan suara rakyat kekal sebagai suara keramat menentukan hala tuju kepimpinan dalam negara dan di peringkat negeri.
“Sebagai seorang yang turun ke lapangan membantu calon BN dan Pakatan Harapan (PH) khususnya di Selangor, saya berterima kasih kepada pengundi kerana mengekalkan mandat parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menerajui Selangor untuk lima tahun lagi,” katanya
