Pas kaji fail petisyen PRN

KUALA LUMPUR 14 Ogos  –  Pas tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan petisyen terhadap keputusan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertikaikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, yang tidak mendedahkan kawasan ini berkata ,ketika ini Pas  sedang meneliti keputusan dan laporan pilihan raya bagi beberapa kawasan yang dipertikaikan.

Dalam pada itu, Pas bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan atas kelancaran dan kejayaan perjalanan PRN negeri-negeri berkenaan.

“Pas percaya perjalanan proses pilihan raya yang baik, teratur dan aman adalah ciri penting sebuah masyarakat dan negara yang matang dan demokratik.

Ia juga adalah petunjuk kepada kesediaan semua pihak untuk mendaulatkan suara dan kehendak rakyat dalam pemilihan wakil mereka, sekalipun keputusan yang dibuat mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya dalam kenyataan.

Pas turut merakamkan rasa terharu dan jutaan terima kasih kepada lebih 3.3 juta pengundi yang mengundi dan memberi kepercayaan kepada calon PN yang memungkinkan gabungan itu mencapai kejayaan cemerlang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN dipertandingkan.

Secara khusus, katanya, PN berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah kerusi dan majoriti undi jauh lebih besar melebihi dua pertiga suara.

PN juga, katanya, mencapai kejayaan amat memberangsangkan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Pas bersama PN komited dan akan meneruskan agenda serta khidmat terbaik untuk semua rakyat di negeri yang berada di bawah pentadbiran PN.

“Pada masa sama Pas  akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab serta konstruktif di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai oleh kerajaan PH-BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment