Tidak akan minta maaf kepada Vincent Tan

ALOR SETAR 8 Ogos – Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, tidak akan meminta maaf kepada Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad susulan kenyataan beliau yang didakwa memfitnah tokoh korporat serta syarikat berkenaan.

“Tak akan (minta maaf)…kes itu masih berkembang dan dokumen sedang diserahkan, jadi kita tengok sehari dua lagi,” katanya mengulas tuntutan permohonan maaf secara terbuka yang dikemukakan tokoh korporat itu.

Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos lalu.

Dalam perkembangan berasingan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menganggap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak sewajarnya mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Tak patut (umum dekat pilihan raya)…kalau tak ada pilihan raya tak boleh buatkah?

“Buatlah di luar musim pilihan raya, ini nampak sangat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mai Sat Bersama Menteri Besar Kedah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengundi terutamanya pesawah yang bakal menerima subsidi itu supaya menerima bantuan Kerajaan Persekutuan berkenaan, namun tetap mengundi PN pada 12 Ogos ini.

Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai cara ‘menghalalkan’ bantuan berkenaan atau ia boleh dianggap sebagai rasuah menjelang PRN kali ini.

“Kalau dari segi pesawah sudah tentu mereka ucap terima kasih (kepada Perdana Menteri), tapi saya nak pesan kepada pesawah, duit tu dapat terima tapi undi PN,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mendakwa ada dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH) tertentu yang mula memberikan wang kepada orang ramai ketika berkempen bertujuan untuk membeli undi.

Jelasnya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan kerana ia antara kesalahan pilihan raya kerana dilakukan ketika waktu berkempen sedang berlangsung.

“Saya dapati ada yang berjalan seluk poket selepas tu beri pada orang…menjelang hari pengundian mungkin ada lagi pemberian itu, (jadi) siapa bagi duit jangan undi dia (tapi) undi lawan dia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment