PUTRAJAYA 8 Ogos – Seramai 72,554 pengundi awal di enam negeri terdiri daripada anggota tentera, polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi hari ini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata jumlah peratusan keluar mengundi bagi semua negeri terbabit adalah melebihi 90 peratus.
Katanya, Kedah merekodkan peratusan tertinggi iaitu 96.02 peratus diikuti Terengganu (95.91 peratus), Selangor (95.87 peratus), Pulau Pinang (95.01 peratus), Negeri Sembilan (94.05 peratus) dan Kelantan (93.9 peratus).
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memberitahu, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P036 Kuala Terengganu, seramai 1,286 pengundi atau bersamaan 95.47 peratus terdiri daripada tentera dan pasangan serta polis sudah mengundi awal.
Terdahulu, semua pusat pengundian awal PRN dibuka pada pukul 8 pagi hari ini bagi memberi ruang kepada 97,388 pengundi awal terdiri daripada 49,660 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka selaku pengundi awal.
Pusat pengundian di IPK Terengganu juga dibuka pada waktu yang sama bagi memberi laluan kepada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan memilih calon untuk mewakili mereka di Parlimen Kuala Terengganu, yang menjadi PRK pertama diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRK15).
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang digunakan untuk PRN dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemaskini hingga 21 Jun 2023.
PRN ini membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim pada PRU15 selepas mendapati berlaku perbuatan rasuah.
