Sekurang-kurangnya 1 kerusi tiap Parlimen

MEMBAKUT 2 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan mencadangkan sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disediakan untuk calon BN Sabah bagi setiap kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, cadangan itu adalah hasrat UMNO-BN Sabah bagi memastikan setiap Parlimen di negeri itu diwakili sekurang-kurangnya seorang calon daripada parti berkenaan.

“Berbeza dengan PRN yang lalu, terdapat beberapa kawasan Parlimen atau bahagian yang langsung tidak diwakili oleh calon BN. Keadaan ini boleh melemahkan semangat ahli dan jentera UMNO-BN di kawasan berkenaan kerana mereka tidak mempunyai peranan ketika pilihan raya berlangsung.

“Apabila tidak diberi peluang, ada yang mungkin kecewa dan akhirnya memilih meninggalkan parti dan ini sesuatu yang tidak baik.

Kalau dalam satu Parlimen ada dua atau tiga kerusi DUN, sekurang-kurangnya satu kerusi diberi kepada BN untuk bertanding. Ini boleh menyuntik semangat dan menenangkan hati ahli-ahli parti di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Terbuka Membakut, di sini, hari ini.

Katanya, BN tidak menutup pintu terhadap parti lain namun menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan parti tempatan kerana ada isu tertentu yang membuatkan pihaknya membuat keputusan itu.

“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain dan saya melihat walaupun isu-isu dimainkan oleh pihak-pihak parti lain bahawa parti tempatan perlu diutamakan tetapi sebetulnya kitapun ada isu berhubung dengan parti tempatan ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut parti tempatan yang dimaksudkan dan enggan mengulas sama ada Parti Warisan juga bakal menjadi rakan kerjasama BN dan PH nanti.

Katanya, walaupun BN adalah parti nasional, Sabah tetap dipimpin oleh orang Sabah dan kini kebanyakan pemimpinnya adalah orang baharu kecuali Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang pernah terbabit dalam UMNO yang lalu.

Ditanya mengenai agihan kerusi, beliau berkata UMNO-BN mahu mengekalkan 41 kerusi yang ditandingi pada PRN16 dan menegaskan parti yang mempunyai ramai penyokong bakal mendapat lebih banyak kerusi.

“Cuma keutamaan kita, parti yang rasa-rasanya mempunyai banyak penyokong, itu yang kita bagi peluang. Sebab pilihan raya ini perlu menang, bukan hanya perlu kuota. Kalau kuotanya kalah semua, lingkuplah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment