Sanusi berdepan ‘perangkap’, minta penyokong kerja kuat

SUNGAI PETANI 7 Ogos – Menteri Besar,  Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan tidak meneruskan ceramahnya pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar di Padang Awam Taman Ria di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mengumumkan demikian pada ceramah berkenaan berkata, ada ‘perangkap’ yang dipasang musuh, yang mengkehendaki Menteri Besar masuk ke dalam perangkap itu.

“Saya nak baca kertas ini yang tulis berita menyedihkan. Pagi tadi Menteri Besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Pada mesyuarat itu, dibincang beberapa perkara penting, perkara besar.

Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini kerana ada perangkap yang dipasang musuh, yang mengkehendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam (perangkap) itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” katanya.

Muhammad Sanusi dijadual hadir pada Ceramah Mega itu bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Kelmarin, Muhammad Sanusi turut tidak hadir program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam Taman Serai Wangi, Padang Serai yang bermula jam 5 petang.

Ketidakhadiran beliau pada program itu mencetuskan khabar angin mengatakan Ketua Pengarah PN yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu ditahan pihak berkuasa susulan siasatan kes kecurian unsur nadir bumi.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan itu dilakukan Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah seperti dilaporkan sebuah media tempatan.

Sementara itu dalam satu hantaran di Facebooknya, Sanusi memohon maaf tidak dapat hadir pada program itu.

“Maaf tak dapat hadir. Insya-Allah kita akan bertemu lagi… “ katanya.

Beliau juga meminta penyokong bekerja kuat untuk menarik lebih ramai pengundi PN.

“Teman, kuatkan lagi kerja menarik lebih ramai pengundi PERIKATAN NASIONAL.

Jangan lupa bermunajat kepada Allah.Insyaallah, kita akan sama-sama bertakbir dan bertasbih atas kemenangan kita pada 12 Ogos nanti,” katanya.

Beliau juga menitipkan firman Allah SWT yang bermaksud : Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya. Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka, iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya. Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap, dengan sebab mereka berlaku zalim; sesungguhnya kejadian yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mahu mengetahui,”

Related posts

Leave a Comment