MIRA, IMAN sertai PN
KUALA BERANG 3 Ogos – Perikatan Nasional (PN) menerima dua rakan baru yang mewakili masyarakat India iaitu Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) ke dalam gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin, berkata Majlis Tertinggi PN, sudah meluluskan penyertaan dua parti berkenaan dan beliau akan membuat penyerahan penyertaan kedua parti tersebut.
Katanya, kaum India sebenarnya banyak parti dalam Malaysia, MIC mungkin parti terbesar untuk kaum India tapi sebenarnya banyak parti yang lain yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
“Jadi bila ramai yang datang jumpa, jadi saya kata beginilah, kalau saya ambil satu yang tiga lagi kata tidak adil.
“Kalau saya ambil tiga, orang kata pasal apa banyak sangat parti India, jadi saya bawa terus dalam mesyuarat, kita tubuhkan Jawatankuasa Masyarakat India di bawah PN.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh saya, manakala timbalannya, setiausaha dan yang lain semua itu kaum India yang uruskan.. kita bincang masalah kaum India.
“Bila kita bincang masalah kaum India, percayalah esok (pada Pilihan Raya Umum) akan datang, dalam manifesto, kita ada perkara-perkara yang kita berikan tumpuan kepada kaum India,” katanya selepas menghadiri Ceramah Perdana PN di Markas Pas Kampung, Durian Badur di sini, malam tadi.
Hamzah berkata, walaupun gabungan itu mempunyai ahli bersekutu dalam Bersatu dan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) tetapi itu adalah sesuatu yang dalam parti itu sendiri.
Katanya, dalam jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu, bukan hanya mereka yang aktif dalam parti tetapi juga aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO).
“Baru-baru ini, apabila saya panggil mesyuarat, 30 orang lebih hadir dan selepas mengetahui mesyuarat itu ramai yang ingin menyertainya. Dalam satu dua hari lagi saya akan panggil mesyuarat dan setakat ini sudah lebih 50 orang yang bersetuju hadir.
“Jadi maknanya ada maklum balas daripada ketua parti dan NGO yang mewakili masyarakat India dan saya nak maklumkan bahawa sekarang ni dua parti satunya MIRA untuk jadi rakan PN satu lagi IMAN iaitu India Muslim parti,” katanya.
