PUTRAJAYA 3 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ditetapkan pada 9 September ini dengan 26 Ogos sebagai hari penamaan calon.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 5 September ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 26 Ogos 2023 sehingga 11.59 malam, 8 September 2023
Bercakap pada sidang media hari ini, Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan dibuka bermula hari ini.
Katanya, bagi PRK Parlimen Pulai, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu lima Penolong Pegawai Pengurus manakala bagi PRK DUN Simpang Jeram, seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga penolong.
Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi PRK Parlimen Pulai dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru manakala PPC dan PPRU bagi PRK DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam akibat pendarahan otak.
Seramai 2,692 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai manakala, sebanyak 47 pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.
Bagi PRK DUN Simpang Jeram pula, seramai 678 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya manakala, sebanyak 14 pusat mengundi biasa mengandungi 68 saluran akan digunakan.
Abdul Ghani berkata, PRK Parlimen Pulai dianggarkan menggunakan peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram memerlukan sebanyak RM1.5 juta.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemaskini sehingga 23 Julai lalu.
Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 pengundi biasa, 927 polis dan 26 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Manakala DUN Simpang Jeram mengandungi 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 pengundi biasa dan enam Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRK itu juga, SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK ini bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
Mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi semua syarat pelantìkan yang ditetapkan.
