Penjawat awam Melaka dapat RM300

MELAKA 3 Ogos –  Kerajaan negeri Melaka mengumumkan bayaran khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam negeri yang dijangka dibayar menjelang 10 Ogos ini.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata Bantuan Khas Penghargaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.16 juta yang memberi manfaat kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

Katanya , bantuan itu melibatkan penjawat awam di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

Beliau berkata, Bantuan Khas Penghargaan itu adalah selaras dengan pengumuman bantuan oleh kerajaan Persekutuan pada 27 Julai lalu.

“Bayaran ini membuktikan kerajaan sentiasa menghargai penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara daripada perkhidmatan awam,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Julai 2023 di sini hari ini.

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan.

Related posts

Leave a Comment