KUALA LUMPUR 3 Ogos – Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada Amanah bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor pada 9 September ini.
Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN menghormati dan memberi laluan kepada Amanah yang berhak untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub pada pilihan raya lalu.
“Kita amat menghormati kebersamaan Amanah sebagai rakan kongsi politik dalam Kerajaan Perpaduan. Kita tahu bahawa kerusi Parlimen itu hak Amanah, iaitu rakan kongsi politik kita dalam Kerajaan Madani.
“Maka kita harus menghormati mereka (wakil Amanah) sebagai calon boleh menang. Yang keduanya, kerusi DUN itu juga kepunyaan Amanah. Atas semangat Kerajaan Madani, kita akan mendukung calon untuk kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi Amanah,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan program TVET JELITA di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian bekas Timbalan Presiden Amanah yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.
Allahyarham Salahuddin, 62, meninggal dunia kira-kira pukul 9.23 malam ketika dalam rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Allahyarham menang kerusi Parlimen Pulai untuk penggal kedua dengan majoriti 33,174 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, beliau juga menang kerusi DUN Simpang Jeram di Muar selepas memperoleh 8,749 undi menewaskan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang.
