Jemaah haji tahun ini 899,353

MAKKAH :  Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi mengumumkan kejayaan fasa pertama Pelan Perdana musim Haji 1443 Hijrah apabila tiada sebarang insiden dalam kalangan jemaah haji dilaporkan.

Ketua Pengarahnya, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media pada Jumaat.

Sudais yang dipetik Saudi TV berkata, “Pelan itu yang menumpukan kepada aspek operasi dan bertujuan menawarkan perkhidmatan terbaik dan paling berkualiti kepada jemaah haji, telah mencapai matlamat fasa pertamanya, Alhamdulillah.”

Bagaimanapun, katanya, kerja masih berjalan untuk terus menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat di Haramain.

Pelan operasi yang disifatkan terbesar pernah dirancang dalam era pandemik Covid-19 itu dilancar pada Jun lepas dengan menumpu kepada 10 langkah utama di bawah matlamat strategik Wawasan 2030 Arab Saudi.

Sementara itu, di Muzdalifah, Laporan Statistik Haji 2022 yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am bagi Statistik Arab Saudi (GASTAT) menyatakan jumlah jemaah haji tahun ini adalah 899,353 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 779,919 adalah jemaah luar negara, manakala bakinya 119,434 merupakan jemaah domestik.

Sebanyak 21.4 peratus jemaah datang dari negara-negara Arab, 53.8 peratus dari Asia dan 13.2 peratus Afrika.

Baki sebanyak 11.6 peratus lagi mewakili jemaah dari Eropah, Amerika dan Australia.

Mewakili jantina pula, sebanyak 486,458, adalah jemaah lelaki manakala wanita pula sebanyak 412,895 orang.

April lalu, Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hanya seramai sejuta umat Islam bawah umur 65 tahun dan lengkap divaksin, dibenar menunaikan haji tahun ini.

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 738,680 jemaah tiba melalui udara, 35,210 melalui jalan darat dan 6,029 menerusi jalan laut.

Jumlah tenaga kerja atau petugas pula yang terdiri daripada pelbagai sektor serta agensi kerajaan dan swasta adalah 228,721 orang di mana 117,049 kakitangan tetap (51.2 peratus), dan 111,672 pekerja sementara (48.8 peratus).

Bagi kemudahan kesihatan pula, seramai 21,062 orang terlibat di mana 60 peratus adalah lelaki.

Foto : Sheikh Sudais bertanya khabar jemaah di Masjidilharam.

Related posts

Leave a Comment