Tahanan rumah Najib bersyarat

SEPANG 18 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya membayar denda RM50 juta.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan BHEUU.

Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.

Terdahulu di Istana Negara kenderaan membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Hannah kemudian dilihat meninggalkan Istana Negara terlebih dahulu, diikuti Mohd Dusuki pada 9.43 pagi selepas menghadiri mesyuarat berkenaan.

Pada 11 September lalu media melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes seleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.

Pada Julai 2020, Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Bagaimanapun , pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Related posts

Leave a Comment