Qatar salur 1.3 juta liter bahan api ke Gaza

DOHA – Kementerian Luar Qatar mengumumkan negara itu menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyalurkan kira-kira 1.3 juta liter bahan api bagi memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza.

Perjanjian itu dijangka membantu memastikan kesinambungan operasi hospital, ambulans serta kemudahan kesihatan lain yang bergantung kepada bahan api untuk menjana elektrik dan menjalankan perkhidmatan kritikal.

Gaza ketika ini berdepan krisis kekurangan bahan api yang berterusan, terutama dalam sektor kesihatan yang bergelut mengekalkan operasi perubatan dan perkhidmatan penting.

Ia turut menjejaskan sistem pengangkutan, dan baru-baru ini pemandu bas di Gaza melancarkan mogok menyebabkan ramai petugas kesihatan gagal ke tempat kerja yang akhirnya memberi kesan besar kepada Hospital al-Shifa di Bandar Gaza.

Kekurangan kakitangan memaksa hospital itu mengehadkan perkhidmatannya kepada pembedahan kecemasan dan rawatan unit rawatan rapi (ICU) sahaja.

Penyelaras perubatan Medical Aid for Palestinians di Hospital al-Shifa, Hasan al-Balaawi, menjelaskan, operasi harian hospital semakin tertekan berikutan kekurangan tenaga kerja dan sumber asas yang diperlukan untuk merawat pesakit.

Qatar sebelum ini memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, termasuk sokongan kewangan, bekalan perubatan dan bantuan pemulihan infrastruktur.

Related posts

Leave a Comment