Bebas: Rai demokrasi selepas tidak terpilih

ADAT pilihan raya, tidak semua orang boleh dicalonkan. Bergantung kepada pemimpin parti sama ada anda dicalon atau tidak. Apabila ramai nak bertanding, kerusi pula sikit, maka banyaklah yang tidak berpeluang selepas tapisan dibuat.

Pada masa yang sama agihan kerusi juga menimbulkan masalah apabila jumlah parti meningkat. Contohnya apabila UMNO bersama atau ‘menumpang’ Pakatan Harapan (PH). Kecuali jika parti bertanding secara solo, ramailah calon berpeluang.

Biasanya alasan popular bagi pengguguran penyandang adalah memberi peluang kepada muka baharu sedangkan ramai juga muka lama bertambah lama sebagai calon. Amat sedikit juga yang memberi alasan masalah kesihatan.

Bagi yang sudah menjadi wakil rakyat, ada yang boleh menerima hakikat digugurkan lebih-lebih lagi mereka yang dijanjikan jawatan tertentu sebagai ‘syarat’ digugurkan.

Tetapi yang menganggap dirinya kuat dan berpengaruh, mereka memberanikan diri unutuk bertanding sebagai calon Bebas. Sama ada mereka orang parti atau tidak, demokrasi membuka peluang kepada mereka untuk bertanding.

Demokrasi menyebabkan mereka menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas walaupun tidak pasti tujuan sebenar berbuat demikian.

Lain pula bagi yang bertanding kerana digugurkan sebagai calon. Mereka mahu membuktikan kepada parti, tentang pengaruh yang ada. Ada juga yang bukan penyandang bertanding Bebas kerana tidak puas hati dengan calon pilihan parti.

Berbaloikah jika bertanding sekadar meraikan demokrasi? Setiap kali pilihan raya, calon Bebas yang menang amat sedikit malahan hampir tidak ada. Maka apa tujuan bertanding? Apa boleh dibuat oleh individu yang menjadi calon Bebas?

Rekod kemenangan calon Bebas amat terhad. Jika diselak kembali, antara yang merekodkan kemenangan adalah Cikgu Jabar atau Mohd Jabar Yusof. Tiga kali (1972, 1978, 1982) menang atas tiket Bebas kerusi DUN Batu Laut, Selangor.

Begitu juga pada 1988, Shahrir Samad keluar UMNO dan melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru yang disandangnya. Pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Shahrir bertanding atas tiket Bebas dan menang.

Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini, sebanyak 41 calon menawarkan diri sebagai calon Bebas. Hanya seorang bakal calon Bebas ditolak kertas pencalonannya.

Berdasarkan data pencalonan yang diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRN kali ini adalah kurang 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 570 calon. Bagaimanapun setiap negeri ada calon Bebas.

Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mencatat jumlah calon Bebas paling tinggi iaitu masing-masing 10, diikuti Kelantan dan Pulau Pinang yang masing-masing menyaksikan lima calon Bebas.

Daripada 41 calon Bebas ini, terdapat beberapa kawasan yang menarik perhatian disebabkan penglibatan mereka yang ‘berjawatan’ atau pemimpin malahan pernah menjadi wakil rakyat.

Contohnya, di PULAU PINANG, selepas DAP menggugurkan beberapa penyandang jawatan yang dikatakan ‘ditarik tangan ghaib’ atau apa yang digelar ‘maharaja’, dua anggotanya keluar parti dan bertanding Bebas.

M Satees dan David Marshel, dua nama yang dikenali masyarakat menjadi perhatian apabila mereka membantah senarai calon DAP pada PRN kali ini, kemudiannya keluar parti sebagai tandas protes.

Satees penyandang kerusi DUN Bagan Dalam, bertanding Bebas bagi mempertahankan kerusi disandangnya manakala Marshel, bekas Ketua Cawangan DAP Batu Kawan bertanding kerusi DUN Prai yang sebelum ini disandang Timbalan Ketua Menteri II P.Ramasamy.

Begitu juga di NEGERI SEMBILAN, bekas Exco kerajaan negeri yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Seremban, Dr Mohamad Rafie Ab Malek, turut tampil sebagai calon Bebas susulan tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi DUN Ampangan.

Mohamad Rafie berdepan saingan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH-PKR) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN-Bersatu) manakala di DUN Klawang, bekas Ketua Amanah Jelebu, Saiful Bahri Jaaman tampil sebagai calon Bebas menentang Danni Rais (PN-Bersatu) dan Datuk Bakri Sawir (PH-Amanah).

Turut menarik perhatian Bujang Abu, 72, yang mencuba kali ketiga sebagai calon Bebas di DUN Sikamat. Lawannya bukan calang-calang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun mewakili PH, Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN) dan seorang lagi calon Bebas Mohammed Hafiz Baharudin.

Begitu juga di DUN Nilai, lebih daripada seorang calon Bebas bertanding apabila penyandang, J Arul Kumar (PH-DAP) dicabar Gan Chee Biow (PN-Bersatu) serta dua calon Bebas iaitu Omar Mohd Isa dan Yessu Samuel.

Sebelum ini, Pemuda Amanah Negeri Sembilan, juga mengugut meletak calon Bebas jika bekas penyelaras DUN, Muhammad Allif Ibrahim tidak dipilih sebagai calon di DUN Kota. Hasrat itu tudak diteruskan walaupun kerusi itu diberi kepada UMNO .

Di SELANGOR, penyandang kerusi DUN Kuang, Sallehudin Amiruddin, membuat kejutan bertanding Bebas. Beliau sebelum ini, calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR pada PRU14 sebelum keluar parti kemudiannya menyertai Pejuang.

Sementara di KEDAH, tumpuan di DUN Kota Siputeh apabila Ketua Bersatu Jerlun, Abdul Ramli, 53 yang juga Penyelaras DUN bertanding Bebas dan bakal berdepan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN) dan penyandang, Dr Salmee Said (PH).

Abdul Ramli yang juga Pengerusi Peladang Changlun mendakwa masyarakat sudah mengenalinya sejak lebih 20 tahun lalu dan beliau menolak calon PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang didakwa calon luar atau calon payung terjun.

Beliau bertanding Bebas kerana suara akar umbi di Kota Siputeh mendesak supaya beliau berbuat sesuatu setelah nama tidak dicalonkan pimpinan PN.

Kerusi DUN Lunas di Kedah pula menyaksikan pertandingan lima penjuru serta mencatatkan penyertaan calon Bebas paling tinggi apabila tiga calon dinamakan bertanding iaitu N Rajendran, S S Pannir Selvam dan S Arichindarem.

Ketiga-tiga wakil Bebas itu akan menentang calon PH-PKR Shamsul Anuar Abdullah dan calon PN-Bersatu Khairul Anuar Ramli.

Satu lagi kerusi ialah di DUN Air Hangat. Dua calon Bebas menawarkan diri iaitu Safwan Hanif Shafie dan Zulfadli Mohd Yusof yang berhadapan calon PN-Bersatu, Shamsillah Siru serta calon BN-UMNO, Hisham Suhaily Othman.

Tidak ketinggalan, di Terengganu, Che Harun Kamariah Abdullah menjadi calon tunggal Bebas apabila mengumumkan untuk bertanding di DUN Hulu Besut.

Begitulah penglibatan calon Bebas dalam PRN kali ini. Ada yang benar-benar meraikan demokrasi walaupun peluangnya sudah diketahui atau dijangka. Dan ada juga yang meraikannya selepas kecewa digugurkan atau tidak terpilih.

Adakah suasana politik yang ada pada hari ini memberi kelebihan kepada calon Bebas terutama yang pernah menjadi wakil rakyat? Jawapannya pada 12 Ogos ini.

Related posts

Leave a Comment