JAIS siasat, Fahmi hanya jelas isu The 1975

SHAH ALAM 31 Julai – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan lanjut berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, semalam.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata JAIS sudah memanggil nazir masjid itu untuk mendapatkan keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Dalam satu kenyataan, Mohd Shahzihan berkata, tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan.

“JAIS ingin mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon serta parti yang bertanding (pilihan raya) supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan di kawasan masjid serta surau bagi mengelak sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan melanggar titah Sultan Selangor dan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Tindakan tegas akan diambil pada mana-mana pihak yang melanggar titah Sultan Selangor dan arahan MAIS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulangi peringatan supaya pentadbir masjid dan surau mematuhi serta menguatkuasakan larangan yang ditetapkan MAIS untuk menjadikan ia zon aman dan bebas pengaruh politik kepartian.

“Bagi kegagalan atau sebarang kecuaian mematuhi ketetapan MAIS, pelantikan pegawai masjid boleh dibatalkan oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Mohd Shahzihan sebelum ini berkata, hasil pemantauan serta pemerhatian JAIS mendapati ada pentadbir masjid dan surau membiarkan tokoh politik menggunakan kawasan rumah ibadat orang Islam untuk tujuan politik.

Sementara itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH)  dalam kenyataan melalui Facebook menyatakan beliau hanya memberi penjelasan berhubung isu kumpulan The 1975 selepas diminta oleh kariah masjid terbabit.

Fahmi berada di situ ketika singgah untuk menunaikan solat Zuhur sebelum ke satu program, dan tidak menyentuh isu politik mahupun berkempen.

“Saya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu, sebab ianya masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

Alang-alang di situ, saya dijemput oleh kariah Masjid untuk ulas sedikit isu Kumpulan 1975. Tiada langsung sentuh isu lain. Jemaah dalam masjid boleh jadi saksi kejadian untuk sahkan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih pada Syafiq Naqman (saksi kejadian) yang muat naik video penerangan yang diberikan olehnya untuk membidas fitnah tersebut.

Bagaimanapun , admin page tersebut telah memadam video yang dimaksudkan.

Related posts

Leave a Comment