“Kenapa Menteri, KDN tanya saya?”

PUTRAJAYA 31 Julai –  Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dakam Negeri sepatutnya mempunyai maklumat mengenai jumlah kemasukan pelancong serta yang keluar meninggalkan negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, teknologi yang ada hari ini membolehkan data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara di mana setiap pelancong perlu mempunyai passport yang mempunyai butiran yang cukup.

“Kenapa tanya saya. Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan Menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar.

Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh Kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah Kerajaan ingin sembunyi data.

Apa gunanya rekod jika Menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail yang memintanya mengemukakan bukti jutaan pelancong China tidak pulang ke tanah asal.

Dr Mahathir menjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu Parlimen seperti yang dilaporkan di Berita Harian pada 27 Julai 2022 mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia setelah tiba di Negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.

“Ini juga telah dilapor oleh media pada bulan Julai 2022. Saya telah berjumpa dengan ramai mereka dan ramai yang memiliki rumah di Kuala Lumpur. Angka 1.5 juta disebut oleh pendakwa lain. Saya cuma terima dakwaan mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata menteri boleh semak data dalam simpanan KDN dan banyak  lagi rekod yang disimpan oleh Kerajaan umpamanya siapa yang memiliki tanah, siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah.

Katanya, mengklasifikasi B40 dan T20 sahaja tidak cukup sebaliknya Kerajaan boleh mendapat lebih banyak maklumat untuk bertindak, untuk menentu dasar.

“Rakyat berhak tahu data ini dan dasar Kerajaan berkenaan dengan maklumat yang didapati,” katanya.

Related posts

Leave a Comment