Jenazah Salahuddin Ayub selamat dikebumikan

PONTIAN 24 Julai – Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulung, Kampung Serkat, Tanjung Piai, di sini tengah hari ini.

Sebelum itu jenazah disolatkan di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini yang turut diimamkan oleh anak sulung Allahyarham, Iskandar Zulkarnain, yang mana ia antara permintaan terakhir Allahyarham.

Turut mengimamkan solat jenazah adalah Naib Presiden Amanah Senator Dr Mujahid Yusof Rawa dan terakhir oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.

Hadir memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan adalah ibu arwah, Aminah Abdullah, 83, balunya, Fatimah Taha, 60, serta ahli keluarga terdekat.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir antaranya Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh.

Sementara itu, Iskandar Zulkarnain, 37, berkata, hasrat bapanya untuk meninggal dunia ketika masih berkhidmat untuk rakyat tercapai.

“Ini impian dia, dia memang cakap kalau dia meninggal dunia, biarlah dalam keadaan dia sedang bekerja untuk rakyat,” katanya.

Menurut Iskandar Zulkarnain, sejak kecil mereka enam adik beradik sudah dididik supaya faham akan tugas digalas bapanya itu dan meletakkannya sebagai milik rakyat.

“Sebagai anak, kami dah lama letakkan ayah sebagai milik rakyat. Dia memang untuk rakyat. Kami dari kecil sudah dididik yang dia selalu tiada dengan kami dan selalu bersama rakyat.

“Terlalu banyak nasihat dia yang saya ingat, antaranya dia pernah pesan jangan campur urusan kerjanya dan dia ajar kami untuk berdikari serta tidak bergantung padanya. Kami pun reda apabila dia sudah capai impiannya,” katanya.

Iskandar yang mewakili keluarga memohon semua pihak mendoakan arwah bapanya itu pergi dengan nama serta dan jasa yang baik.

“Kalau ada yang buruk-buruk, andai dia silap dan terkasar kata, kami minta maaf,” katanya.

Dalam pada itu, isteri arwah, Datin Seri Fatimah Taha, 60, berkata Salahuddin adalah seorang yang sangat menjaga kesihatan dan pemakanan.

“Tekanan darah dia ‘okay’, bacaan gula pun ‘okay’, cuma mungkin apa yang sebabkan ‘burst’ (pendarahan otak) mungkin kerana dia penat sangat agaknya.

“Dia memang ada mengadu penat dan pening. Syukurlah saya berada bersama ketika dia jatuh sakit hari itu (Jumaat), saya tidak boleh bayangkan kalau dia keseorangan waktu itu hendak ‘survive’ (bertahan) dengan sawan dan sebagainya,” katanya sebak.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggalkan seorang balu bersama empat anak lelaki dan dua perempuan serta 11 orang cucu.

Related posts

Leave a Comment