Speaker DUN Selangor milik DAP jika PH-BN menang

 

KUALA LUMPUR 24 Julai – DAP mencadangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor jika Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dipilih menjadi kerajaan negeri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia sebagai syarat yang dikemukakan DAP berikutan penyerahan kerusi DUN Dusun Tua kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, cadangan itu telah dipersetujui Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan merupakan Speaker. Jadi, bila kita serahkan Dusun Tua, syarat yang kita nyatakan adalah kita mahu seorang yang bukan ADUN untuk gantikan kerusi Speaker DUN.

“Lau Weng San merupakan penyandang kerusi Banting. DAP akan cadangkan Speaker DUN Selangor jika PH-BN berjaya tubuhkan kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP, hari ini.

Sebelum ini, Loke melaporkan yang parti itu sedikit kecewa apabila menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua yang disandang parti itu kepada calon BN untuk PRN pada Ogos depan. Bagaimanapun, pihaknya perlu akur dengan keputusan tersebut.

Loke turut memaklumkan bekas ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang digugurkan DAP daripada bertanding pada PRN bulan depan, dicadangkan sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang.

“Kita beri penghargaan kepada penyandang yang memberi laluan kepada muka-muka baharu,” katanya.

Pada majlis itu, Loke mengumumkan akan bertanding di semua 15 kerusi DUN Selangor yang dimenangi parti itu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di mana

sembilan daripadanya adalah penyandang dan enam merupakan calon baharu.

DAP sebelum ini, mempunyai 16 ADUN dan seorang daripada mereka akan dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Selangor, tetapi kali ini DAP diminta memberi laluan di DUN Dusun Tua dengan ia bukanlah pertukaran antara kerusi.

Justeru, menerusi formula dimuktamadkan Anwar, DAP hanya bertanding di 15 kerusi dan mencadangkan jawatan Yang Dipertua DUN Selangor kekal bagi DAP serta pelantikannya dibuat bukan dalam kalangan ADUN.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada DAP Selangor kerana meremajakan calon dengan purata umur 43.6 tahun. Maksudnya calon yang diperkenalkan di bawah 50 tahun. Tiada seorang pun calon melebihi 60 tahun,” katanya.

Muka baharu yang dicalonkan DAP ialah Yew Jia Haur (DUN Teratai); Ong Chun Wei (DUN Balakong); Quah Perng Fei (DUN Bandar Baru Klang); Preakas Sampunathan (DUN Kota Kemuning); Papparaidu Veraman (DUN Banting) dan Lwi Kian Keong (DUN Sungai Pelek).

Sementara muka lama yang kekal adalah Ng Suee Lim (Sekinchan); Lee Kee Hiong, (Kuala Kubu Bharu); Ng Sze Han (Kinrara); Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya); Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing); Lim Yi Wei (Kampung Tunku); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Leong Tuck Chee (Pandamaran).

“Penyandang DUN Balakong, Wong Siew Ki bagaimanapun akan bertanding di Seri Kembangan,” katanya.

Dalam pada itu, Loke merakamkan penghargaan kepada penyandang DUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah; Lou Weng San (Banting) dan Teng Chang Khim (Bandar Baru Klang) kerana memberi laluan kepada calon muka baharu.

Beliau menyifatkan kesediaan ketiga-tiga penyandang berkenaan sebagai semangat penting ditonjolkan bagi membolehkan DAP terus maju, sekali gus memberi laluan kepada proses peremajaan parti.

Senarai penuh calon DAP bagi PRN Selangor

N4 Sekinchan – Ng Suee Lim

N6 Kuala Kubu Baharu – Lee Kee Hiong

N22 Teratai – Yew Jia Haur

N27 Balakong – On Chun Wei

N28 Seri Kembangan – Wong Siew Ki

N30 Kinrara – Ng Sze Han

N31 Subang Jaya – Michelle Ng Mei Sze

N34 Bukit Gasing – Rajiv Rishyakaran

N35 Kampung Tunku – Lim Yi Wei

N36 Bandar Utama – Jamaliah Jamaluddin

N45 Bandar Baru Klang – Quah Perng Fri

N47 Pandamaran – Leong Tuck Chee

N50 Kota Kemuning – Preakas Sampunathan

N52 Banting – Papparaidu Veraman

N56 Sungai Pelek – Lwi Kian Keong

 

 

Related posts

Leave a Comment