Kesedaran semua tangani buli, dera di sekolah

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Anwar Ibrahim berkata, kesedaran dan pembabitan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, sekolah serta Jabatan Pendidikan perlu diperkasa bagi menangani isu buli, penderaan dan keselamatan murid di sekolah.

Perdana Menteri berkata, walaupun pelbagai langkah diambil termasuk pemantauan asrama, audit keselamatan, peningkatan kapasiti penyeliaan murid, kaunseling dan inisiatif kesejahteraan, namun usaha itu masih belum mencukupi.

“Saya tidak percaya kes ini boleh selesai tanpa kesedaran dan pembabitan semua pihak. Malah didikan asas agama, akhlak, kecintaan kepada ibu bapa, hormat pada guru-guru harus ditingkatkan juga.

Saya tidak bermaksud menyalahkan ibu bapa, tetapi unit keluarga itu sebenarnya menjadi satu asas kepada tertegaknya sebuah negara,” katanya yang menjawab soalan daripada Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Soalan itu meminta Perdana Menteri, menyatakan mengapa kes-kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan sudah ditetapkan oleh kerajaan.

Anwar turut menegaskan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan sebarang masalah yang berlaku hanya semata-mata kerana ingin menjaga imej dan prestasi daripada menjadi buruk.

Katanya, ada sekolah yang kadang-kadang menyembunyikan masalah disebabkan tidak mahu imej sekolah buruk.

“Nak jaga prestasi sekolah, bagi laporan yang baik, yang rosak anak-anak ini kita tidak fikir. Contohnya dalam menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir dan ia diakui ada kelemahan awal. Kita harus belajar dari kelemahan itu dan perbaiki, perketatkan peraturan.

“Tetapi akhirnya, walaupun ada beberapa hal yang disebutkan tadi, akhirnya kesedaran rakyat, ibu bapa dan keluarga adalah yang paling penting sekali,”katanya yang menjawab soalan tambahan daripada Saifuddin.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment