Biden diuji positif Covid-19

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, beliau dalam “keadaan baik” setelah diuji positif Covid-19 dan berikrar untuk terus bekerja sambil mengasingkan diri di Rumah Putih.

Beliau yang berusia 79 tahun dilaporkan mengalami gejala ringan. 

Doktor peribadi Biden, Kevin O’ Connor, dalam satu cacatan rasmi menulis bahawa Presiden AS itu sedang mengalami keletihan, selesema dan batuk kering, yang bermula pada Rabu malam, 20 Julai.

Dalam catatan untuk menunjukkan beliau akan terus memimpin negara itu, Biden memuat naik gambar bekerja di mejanya ke Twitter dan berkata “Saya dalam keadaan baik,” serta rakaman video pendek yang dirakam di balkoni Rumah Putih. 

“Hi semua, saya rasa anda semua sudah tahu pagi ini bahawa saya diuji positif Covid,” kata presiden itu, yang memakai jaket tanpa tali leher, sambil bersenyum. 

“Gejalanya ringan dan saya menghargai pertanyaan dan keprihatinan anda. Ia semuanya akan menjadi baik.” 

Mengumumkan diagnosisnya, Rumah Putih menekankan bahawa Biden lengkap divaksin dan sudah menerima dua suntikan dos penggalak. 

Biden sedang mengambil pil Paxlovid Pfizer, iaitu ubat oral untuk mengurangkan gejala Covid-19. 

Presiden AS itu diuji positif menerusi ujian pantas antigen (ART) pada pagi Khamis 21 Julai sebelum keputusan itu disahkan oleh ujian tindak balas rantaian polimerasi (PCR). 

Beliau dilaporkan dalam keadaan sihat, namun sebagai presiden AS yang tertua, usianya meningkatkan keprihatinan mengenai kesan Covid-19. 

Pemeriksaan fizikal pada November tahun lalu mendapati Biden “sihat untuk bertugas”. 

Bagaimanapun berdepan dengan tanggungjawab yang semakin berat, Biden – seperti presiden-presiden lain sebelumnya – sudah menunjukkan kesan-kesannya: pergerakannya lebih kejang, rambutnya lebih tipis dan pertuturannya tidak selancar seperti apabila beliau mula menyandang jawatan tersebut. 

Related posts

Leave a Comment