Simpanan RM240,000 mencukupi bersara dengan bermaruah

KOTA BHARU 24 Julai – Rakyat Malaysia perlu memiliki simpanan asas RM240,000 sebagai paras sasaran apabila bersara pada usia 55 tahun yang dianggap mencukupi untuk rakyat negara ini bersara dengan bermaruah.

Timbalan Menteri Kewangan 1,  Ahmad Maslan, berkata jumlah itu mewakili anggaran RM1,000 sebulan untuk tempoh 20 tahun selepas usia bersara, berdasarkan jangka hayat rakyat Malaysia adalah sehingga 75 tahun.

“Simpanan asas sebanyak RM240,000 cukup untuk menyara secara purata RM1,000 sebulan dan rakyat perlu memikir simpanan hari tua dengan kadar minimum itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad berkata, antara kaedah yang boleh digunakan untuk mencapai sasaran itu adalah dengan menyertai syarikat yang menawarkan gaji lebih tinggi, selain membuat caruman sukarela.

Beliau juga menyarankan rakyat negara ini terutama yang bekerja dalam sektor tidak rasmi membuat caruman menerusi i-Saraan yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“i-Saraan dibuka kepada semua yang bekerja tanpa majikan dan boleh mencarum secara sukarela dengan menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan.

“Setakat Jun, lebih 500,000 rakyat Malaysia sudah mendaftar caruman sukarela itu dan kita sarankan lebih ramai menyertainya kerana selain menerima insentif, pencarum juga mendapat dividen bergantung jumlah caruman,” katanya selepas lawatan ke pejabat KWSP di sini.

Ahmad turut memuji usaha KWSP yang menyediakan kaunter bergerak dalam usaha menguar-uarkan mengenai caruman sukarela itu dengan masuk ke kawasan yang jauh dengan pejabat KWSP.

Beliau berkata, ia dapat menyebarkan maklumat terkini dan kemudahan yang disediakan KWSP untuk dimanfaatkan orang ramai.

Related posts

Leave a Comment