JOHOR BAHRU 11 Jun – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang mempersoalkan rayuan yang perlu dibuat oleh ahli yang digantung atau dipecat sedangkan beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin sebelum digantung.
Beliau juga menegaskan tidak pernah khianat atau sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap Pilian Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur? Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti sebelum digantung.
“Saya menjadi ahli UMNO dan aktif sejak berusia 17 tahun dan amat menyayangi parti UMNO yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maulizan berkata, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden UMNO , Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, pemecatan serta penggantungan itu bertujuan membolehkan presiden menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang ‘diorkestra’ untuk menyokong hasrat Presiden.
Katanya, UMNO juga menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan bahawa parti itu kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.
“Isu pokok yang melanda UMNO masa kini ialah soal kepemimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli UMNO serta orang Melayu ekoran keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka.
Kepemimpinan UMNO juga dilihat amat gembira dengan terus menjadikan UMNO sebagai penumpang dalam kerajaan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun.
“UMNO di bawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu.
Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar, amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah,” katanya.
