Dua juta rakyat tinggalkan UMNO

SEREMBAN: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa, memulakan ‘serangan’ ke atas parti yang disertainya selama 50 tahun dengan mendakwa lebih dua juta rakyat sudah meninggalkan parti itu.

Beliau yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN), mendakwa UMNO bukan lagi parti pilihan rakyat yang mengutamakan perpaduan rakyat, bukan lagi parti yang mahu menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Ia sudah bertukar menjadi satu parti menjaga kepentingan individu, menjaga kepentingan kelompok dan puak tertentu, sekarang ini mereka sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada parti DAP semata-mata,” katanya.

Annuar yang kini menganggotai Pas selepas dipecat selepas pilihan raya umum (PRU) lalu berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Perikatan Nasional (PN) di Senawang, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung PN,  Takiyudin Hasan; Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan PN, Mohamad Azmin Ali.

Annuar mendakwa UMNO sedang dikongkong dan digonggong Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak ada sebab untuk saya menyokong sebuah parti politik (UMNO) yang sedang dikongkong Presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang telah merosakkan dirinya sendiri.

“Tiada sebab untuk saya menghabiskan sedikit sebanyak harta benda bagi menyokong parti itu yang telah rosak dan lebih penting menjadi penderhaka nombor satu kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini,” katanya.

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Ketereh, mendakwa dulu UMNO yang disertainya selama 50 tahun diharapkan menjadi parti yang akan mendukung penyatuan dan perpaduan ummah dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya UMNO kini menjadi parti yang mengepalai perpecahan dalam kalangan ummah rakyat dalam negara ini.

“Saya ahli UMNO selama 50 tahun kerana waktu itu diharapkan menjadi parti politik yang menjunjung perjuangan ABATA, Agama, Bangsa dan Tanah Air, dan juga nak menjaga UMNO sebagai sebuah parti yang didokong majoriti umat dan rakyat dalam negara ini.

“Tapi, kini menjadi parti yang dikawal seorang presiden yang mengkhianati orang Melayu dan Islam,” katanya sambil mendakwa berfikir dengan hati yang tenang dan jiwa yang luhur, berhubung pilihannya meneruskan perjuangan politik dengan menyertai PN.

Beliau menjelaskan keputusan untuk menyertai PN dibuat secara sukarela tanpa paksaan.

“Saya akan menjelaskan rasional penyertaan saya bersama Pas dan PN pada siri-siri rapat umum yang akan diadakan selepas ini dan mengajak rakyat untuk bersama PN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment