BNM putuskan sepenuhnya kenaikan OPR

KUALA LUMPUR 6 Jun – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan sepenuhnya kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan beliau telah menggesa BNM agar meneliti isu fiskal dan keyakinan keseluruhannya berhubung kenaikan OPR.

“Tentang OPR seperti yang kita tahu daripada masa kerajaan dahulu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, OPR ini diputuskan sepenuhnya oleh Bank Negara kerana itu undang-undang yang dibuat dahulu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini dalam Kerajaan Perpaduan hanya sekali berlaku kenaikan berbanding empat kali di bawah pemerintahan sebelum ini.

“Jadi setakat yang saya boleh gesa Bank Negara harus teliti bukan saja isu monetari, kewangan tetapi juga fiskal dan juga keyakinan keseluruhannya.

“Tetapi seperti mana saya jawab awal tadi, kita harus juga terima kenyataan kenaikan OPR seperti mana berlaku di Singapura itu akan memperkukuhkan nilai mata wang,” katanya lagi.

Anwar berkata, beberapa tindakan sudah dan akan dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, ketua negara anggota ASEAN menerusi ‘Asian Monetary Fund’ bersetuju menggunakan mata wang masing-masing bagi urusan import dan eksport sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

“Umpamanya, import dan eksport dengan Indonesia, kita akan gunakan rupiah dan ringgit. (Pendekatan ini turut) dipersetujui China.

“Asas lain yang kita lakukan, termasuk negara perlu stabil dan memiliki dasar jangka panjang dan dasar fiskal yang bertanggungjawab, iaitu menurunkan defisit,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor).

Terdahulu, Perdana Menteri ketika menjawab soalan asal berkaitan kesan kejatuhan ringgit berkata, keadaan itu dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong pengukuhan dolar AS.

Beliau berkata, nilai ringgit menyusut 3.8 peratus berbanding dolar AS, manakala Yen Jepun (lebih enam peratus) serta dolar Australia, won Korea dan renmibi (sekitar tiga peratus) sejak Januari 2022.

Anwar juga memberitahu, penurunan kadar defisit fiskal yang terlalu mendadak akan menjejaskan ekonomi terutamanya projek-projek pembangunan negara khususnya pendidikan, kesihatan dan prasarana desa.

Katanya ,penurunan defisit tidak harus terlalu mendadak dan mesti diturunkan ke paras yang boleh diterima seperti yang diumumkan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment