Gantung lesen jika jual gula lebihi harga kawalan

KUALA LUMPUR 6 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang sengaja menjual harga gula melebihi harga kawalan, menyorok bekalan dan menetapkan pembelian gula secara bersyarat.

Menteri KPDN, Salahuddin Ayub, berkata sama ada peniaga dikompaun, lesen digantung atau lesen disenarai hitam serta-merta perlu diambil berikutan tindakan mereka menjejaskan bekalan dalam negara, selain pengguna terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan.

Berikutan itu, Ops Manis yang dilancarkan bermula 3 Mei lalu sehingga kelmarin membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah, akan dilanjut sehingga 30 Jun ini serta diperluas ke seluruh negara.

“KPDN tidak akan berkompromi lagi dan akan ambil tindakan tegas serta-merta, termasuk mereka yang didapati menjual gula putih bertapis kasar secara bersyarat, termasuk gula jernih.

Kita ada terima aduan kononnya dia (peniaga) kata boleh beli dua pek gula subsidi dengan syarat beli satu kilogram gula premium tidak bersubsidi.

“Itu pun satu kesalahan yang dilanggar dalam syarat lesen dikeluarkan itu,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Salahuddin berkata, setakat ini, tujuh kes membabitkan penjualan bekalan melebihi harga kawalan diterima dan meminta pengguna terus berkongsi maklumat dengan KPDN jika mengesan ada peniaga dan premis perniagaan melanggar syarat jualan.

“Kita tak mahu isu ini berlanjutan. Kita sudah ada libat urus dengan MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR), jumlah yang ditetapkan untuk keperluan negara mencukupi dan atas faktor itu tidak mungkin berlaku ketidakcukupan gula di pasaran.

“Kalau berlaku lagi, mereka berdepan tindakan tegas. Kita akan kompaun dan gantung lesen daripada meneruskan perniagaan pada masa akan datang,” katanya.

Salahuddin berkata, setakat kelmarin, sebanyak 2,576 premis perniagaan diperiksa oleh anggota penguat kuasa KPDN dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula diterima.

“Secara keseluruhannya, bekalan gula di pasaran tidak kritikal, masih mencukupi dan stabil serta berupaya menampung permintaan semasa.

“Bagaimanapun, pihak KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir,” katanya.

Related posts

Leave a Comment