Putra gesa kerajaan tubuh RCI LCS

SEPANG 30 Mei – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Kerajaan Madani menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci isu penyelewengan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Presiden Putra, Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu perlu kerana LCS melibatkan satu lagi kerugian besar kepada negara dan ada kaitan dengan kepentingan keselamatan negara,

Katanya, laporan siasatan itu apabila siap hendaklah dibentangkan di Dewan Rakyat dan diumumkan kepada rakyat.

Dalam satu kenyataan, Ibrahim turut mencadangkan sidang RCI dibuat secara terbuka bagi membolehkan rakyat mengikuti sepenuhnya perkembangan isu berkenaan yang disifatkan sebagai ‘bangkai berkulat’.

“Jika Kerajaan Madani cuba elak dan berdalih dengan pelbagai alasan, maka pastilah ada pihak yang cuba dilindungi mereka yang terlibat dan ada kaitan dengan penyelewengan Projek Kapal LCS ini.

“Rakyat diseru bangkit bersama, terutama NGO bagi mendesak kerajaan Madani menubuhkan segera RCI Kapal LCS dengan melantik anggota-anggota yang berwibawa dan berintegriti secepat mungkin,” katanya.

Kata, projek LCS amat memalukan negara, ibarat kalau bertempur tidak ada kapal sedangkan RM6 bilion dibelanjakan.

Lebih mengejutkan apabila kerajaan terpaksa menambah peruntukan menjadikan kos sebuah kapal LCS berjumlah RM2.24 billion berbanding RM1.5 billion.

Ibrahim juga membidas parti politik kerana sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya menyerang kerajaan ketika itu seperti peluru roket berpandu.

Malangnya selepas PRU15 dan setelah PH bersama Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan, peluru roket berpandu menjadi seperti meriam buluh yang tidak lagi berbunyi.

LCS menarik semula perhatian apabila Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV).

SPV mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan (MoF).

Kelmarin, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan, selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek LCS iaitu BNS supaya projek dapat diselesaikan.

“Ada projek yang on-going yang mesti kita (kerajaan) selesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, dah belanja RM6 bilion. Kita tidak boleh tutup, kita kena ambil alih untuk menyelesaikan projek,” kata Anwar.

Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 7 Ogos 2022 mendedahkan, tiada seunit pun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion menerusi BNS.

Related posts

Leave a Comment