Siapa tawarkan Pas sertai Kerajaan Perpaduan?

SEPANG 30 Mei –  Siapakah pemimpin atau wakil kerajaan yang menawarkan kepada Pas untuk bersama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim?

Persoalan ini timbul apabila Perdana Menteri menafikan dakwaan pemimpin Pas kononnya ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, malah ia tidak pernah dibincang pada peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak dimaklumkan, saya tidak tahu sama sekali, tidak daripada saya dan pemimpin kerajaan, yang lainnya” katanya selepas Majlis Seminar Fikrah Siddiq Fadzil – Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Pas  Abdul Hadi Awang mendakwa ada tawaran daripada kerajaan untuk PAS bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan perkara sama dengan mendedahkan ada pihak menemui beliau mengemukakan tawaran itu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi kenyataan bahawa tidak ada sebarang langkah menawarkan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, jika ada yang mendakwa bertemu pemimpin atau lapisan kepemimpinan parti berkenaan, pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak pernah menganggapnya sebagai perjumpaan rasmi.

“Perkara berkenaan tidak pernah diperbincangkan secara rasmi dalam kalangan 9 pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan, tidak juga pernah dibincangkan dikalangan pengerusi gabungan parti.

“Jika ada pun yang mendakwa bertemu pemimpin atau lapisan kepemimpinan parti berkenaan itu kami tidak pernah menganggap sebagai satu perjumpaan rasmi dan tidak ada satu move (langkah) dibuat ke arah itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini tidak ada parti dalam Kerajaan Perpaduan akan mempercayai Pas dan janji parti itu.

Beliau secara peribadi turut memaklumkan sudah serik dengan Pas.

“Mereka (Pas) sudah berkahwin secara mutaah dalam bidang politik ertinya kahwin sementara dan setakat ini tidak ada parti di kalangan kami yang percaya sebab mereka tidak mengotakan janji mereka, ikrar dan piagam yang sudah dipersetujukan bersama.

“Saya fikir buat sementara waktu ini kita lupakanlah soal itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment