SINGAPURA 30 Mei – Presiden Halimah Yacob mengumumkan beliau tidak akan bertanding mempertahankan jawatannya untuk penggal seterusnya pada Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung beberapa bulan lagi.
Beliau yang mengumumkan pendiruannya melalui Facebooknya semalam berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan teliti dilakukan.
“Dalam masa beberapa bulan lagi, Pilihan Raya Presiden akan diadakan. Selepas membuat pertimbangan teliti, saya memutuskan untuk tidak bertanding bagi pilihan raya presiden seterusnya,” katanya.
Halimah yang turut berucap melalui video berkata, adalah satu penghormatan kepadanya dapat berkhidmat sebagai Presiden kelapan Singapura sepanjang enam tahun lalu, bermula pada tahun 2017.
“Pengalaman ini sangat memberi inspirasi dan, pada masa yang sama, membuat saya berasa rendah diri,” katanya.
Halimah sedar akan “tanggungjawab yang sangat berat” yang perlu dipikul sebagai seorang presiden dan beliau sudah mencuba sebaik mungkin dengan matlamat membantu mewujudkan masyarakat yang lebih mengambil berat dan bersifat ihsan.
Beliau turut menghargai segenap lapisan rakyat Singapura atas kepercayaan, pemahaman dan kebaikan yang ditunjukkan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Terima kasih kepada semua rakyat Singapura atas kepercayaan, sikap saling memahami serta sifat baik hati mereka sepanjang saya memegang jawatan presiden dan kepada pertubuhan masyarakat, sosial serta perniagaan, yang menyuntik inspirasi kepada saya dengan keyakinan dan semangat mereka dalam membina Singapura yang lebih baik,” katanya.
Beliau menyifatkan dirinya amat bertuah kerana diberi peluang untuk berkhidmat terhadap rakyat Singapura tanpa mengira kaum, bahasa atau kedudukan sosial sebagai ketua republik itu.
“Saya akan sentiasa menghargai kenangan indah ketika bertemu rakyat dan pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Ia memberi inspirasi kepada saya untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara dengan cara lain selagi diperlukan,” kata Halimah.
Tempoh perkhidmatan Halimah dijadualkan berakhir pada September ini.
Halimah, yang mengangkat sumpah pada 14 September 2017 adalah presiden Melayu pertama sejak Yusof Ishak pada 47 tahun lalu dan juga wanita pertama sebagai presiden.
Pilihan raya presiden selanjutnya bagi Singapura perlu diadakan sebelum 13 September.
Ia dibuka kepada calon daripada semua kaum, berbanding pilihan raya pada 2017 di mana hanya anggota masyarakat Melayu sahaja dibenarkan bertanding.
(Foto MCI Singapore)
