Hawana dan Utusan Melayu

KATA orang, barang yang lepas jangan dikenang. Kata mereka, bergerak ke hadapan. Namun apabila ‘barang’ itu dingat dalam catatan sejarah, mahu atau tidak kita akan tetap mengenangkannya.

Akhbar Utusan Melayu tidak wujud lagi, begitu juga syarikat penerbitannya yang sudah gulung tikar.Namun tarikh kelahiran Utusan Melayu akan tetap diingati.

Detik 29 Mei 1939, akhbar pertama diterbitkan oleh Utusan Melayu Press Limited akan kekal dalam ingatan selepas kerajaan Malaysia mengisytiharkan Hari Wartawan Nasional (Hawana) disambut pada setiap 29 Mei.

Maka Mei bukan sekadar meraikan Hari Pekerja, Hari Guru, Hari Jururawat, Hari Belia, Hari Kelahiran UMNO dan pelbagai lagi.

Jika Utusan Melayu masih ada pada hari ini usianya mencecah 84 tahun.Hari ini kita raikan sejarah Utusan Melayu, akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal yang digembelingkan oleh orang Melayu.

Semangat muafakat dan setiakawan menjadikan akhbar ini satu kenyataan apabila diterbitkan buat pertama kali di Singapura.

Hawana bermula apabila pada 11 April 2018,  kerajaan pimpinan Najib Tun Razak mengisytiharkan 29 Mei sebagai Hari Wartawan Nasional. Langkah itu satu penghormatan walaupun ketika itu Utusan Melayu (jawi) tidak lagi wujud.

Akhbar jawi Utusan Melayu itu hanya tinggal kenangan. Selepas berkubur berikutan kos tinggi yang tidak mampu ditampung oleh hasil jualan dan iklan, Utusan Melayu diterbitkan seminggu sekali atas nama Utusan Melayu Mingguan.

Kemudian Utusan Melayu bertahan melalui atas talian dan syarikat Utusan Melayu  terus hidup bersama Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad.

Perubahan masa dan perkembangan teknologi seperti blog, Facebook, Twitter, WhatsApp, Instagram, TikTok menyebabkan edisi cetak semakin terjejas. Semua ini mencabar kedudukan akhbar itu.

Walaupun masih diberi harapan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai surat khabar bercetak tetapi selama mana ia mampu bertahan sekiranya langkah-langkah ‘menyelamat’ tidak diambil.

Anwar ketika berucap merasmikan Hawana semalam berkata, peranan industri persuratkhabaran negara masih relevan, sekali gus mewajarkan penerbitan naskhah itu dalam kancah media hari ini.

Meskipun teknologi berevolusi ditambah pula kewujudan banyak platform media sosial yang turut memaparkan berita terkini, Perdana Menteri berkata, beliau masih memilih untuk membaca akhbar secara fizikal.

“Saya masih setiap hari melihat perkembangan media sosial. Saya membaca surat khabar…satu perkara yang wajib saya teruskan,” katanya.

Tugas ‘menyelamat’ media cetak bukan mudah walaupun kualiti dan kandungan boleh diperbaiki. Surat khabar memerlukan sokongan pembaca serta komitmen pihak di luar sana khususnya pengiklan yang semakin beralih kepada media atas talian. Itu pun tidak menyeluruh.

Semasa Utusan Melayu masih bernafas, sudah letih mendengar cerita sokongan pelbagai pihak tetapi hakikatnya bagai hilang ditiup angin. Suasana politik juga mempengaruhi apabila dilihat tidak senada dengan perjuangan parti mereka.

Lihat sahaja akhbar Utusan Melayu. Bayangkan jika setiap keluarga Melayu ketika itu membeli senaskhah, hayatnya mungkin lebih panjang. Apabila ‘dimatikan’ barulah timbul rasa kesal dan sungutan tetapi semasa hayatnya , apa yang dilakukan?

Kini media cetak mula beralih kepada akhbar dalam talian. Media cetak diterbitkan dalam jumlah yang terhad supaya tidak berlaku pulangan yang tinggi sekaligus mengurangkan kos cetak, kos kertas dan sebagainya.

Utusan Melayu @ Utusan Malaysia selepas pilihan raya umum (PRU) 2018 berhadapan dengan cabaran yang amat berat. Keputusan PRU ketika itu menyebabkan Utusan distruktur semula.

Hawana juga sunyi sepi pada tahun 2019, 2020, 2021 sehinggalah disambut semula pada 2022 di Melaka.

Berbalik kepada Utusan, lebih 700 pekerjanya, sebahagian besar memilih menerima tawaran skim pemisahan sukarela (VSS). Keputusan  yang amat berat itu bagi meneruskan kelangsungan syarikat.

Dikuasai UMNO  semasa era Perikatan kemudian Barisan Nasional (BN),  Utusan Melayu ‘dibebaskan’ ketika era Pakatan Harapan (PH).

UMNO melepaskan kepentingannya. Majoriti saham dikuasai oleh Syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Abd. Aziz Sheikh Fadzir (DASF). Dia cuba bangkit dengan pelan pemulihan tetapi gagal !

Rasanya tidak ada dalam kalangan bekas pekerja Utusan yang mendoakan kehancuran Utusan. Setiap orang yang pernah bersama Utusan ingin melihat Utusan terus bangkit. Keluarga besar Utusan tidak boleh melupakan budi dan jasa Utusan.

Semoga melalui Hawana, Utusan Melayu akan terus dikenang! Hawana mengingatkan kita kepada Utusan walaupun Utusan Melayu sudah ‘pergi’ tanpa batu nisan!

Selamat Hari Wartawan Nasional!

Related posts

Leave a Comment