KPM nafi arahan tonton filem Anwar

PUTRAJAYA 29 Mei – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan pihaknya mengeluarkan arahan kepada semua ketua bahagian, pengarah pendidikan negeri, pengetua dan guru besar untuk menonton filem biopik ‘Anwar: The Untold Story’.

KPM mngeluarkan poster media sosial menyatakan surat berkenaan adalah palsu.

“KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penganjuran tayangan filem seperti yang ditularkan. Semak kesahihan maklumat, tidak pasti jangan kongsi,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook kementerian hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, berkongsi surat arahan penganjuran sesi menonton tayangan filem berkenaan bersama-sama warga pendidik dan murid sekolah menerusi Facebook hari ini.

Perkongsian oleh Ahli Parlimen dari Pas berkenaan untuk bertanya sama ada surat itu sahih atau sebaliknya.

Sahih ke ni?” katanya dalam mesej media sosial berkenaan.

Sebelum ini, pada 24 Mei lalu, seorang Ahli Parlimen Pas mencadangkan RTM membeli filem Anwar: The Untold Story supaya kerajaan tidak perlu mengarahkan pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan menontonnya di pawagam.

Cadangan itu disuarakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 di Dewan Rakyat.

“Saya mencadangkan RTM membeli terus filem Anwar: The Untold Story dan menayangkannya secara percuma tanpa perlu menggunakan budak sekolah dan kakitangan kerajaan dengan mengeluarkan surat rasmi menjemput mereka menonton di pawagam bersama menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Ahli YB (Yang Berhormat) di sini, saya ingat boleh jemput bersama, keluarkan surat rasmi untuk kami sama-sama menonton filem penuh bersejarah ini,” katanya yang mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen lain.

Media sebelum itu melaporkan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sebuah pawagam di Putrajaya.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah berkenaan sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

Related posts

Leave a Comment