Tidak mungkin cecah 40 darjah Celsius

SINGAPURA: Suhu di Singapura tidak mungkin mencecah 40 darjah Celsius dalam tempoh minggu-minggu akan datang ini walaupun negara itu mengalami cuaca panas sejak kebelakangan ini.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pihaknya menyedari mesej yang dipercayai memberi amaran kepada penduduk Singapura tentang kemungkinan gelombang haba antara 40 hingga 50 darjah Celsius.

Bagaimanapun NEA dalam satu catatan Facebook pada Jumaat lalu menyatakan tidak mungkin suhu mencecah setinggi 40 darjah Celcius.

“Walaupun kita mengalami hari-hari dengan cuaca lebih panas sejak beberapa minggu lewat ini, suhu tidak memecah paras rekod,” jelas NEA yang menjelaskan rekod tertinggi setakat ini adalah 37 darjah Celsius pada 17 April 1983.

Bulan-bulan antara monsun pada April dan Mei lazimnya tempoh yang lebih panas sepanjang tahun disebabkan pemanasan suria yang kuat serta keadaan cahaya dan angin yang berubah-ubah.

April secara amnya bulan yang panas dengan suhu maksimum harian melepasi 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.

Setakat Khamis, suhu maksimum harian menjangkaui 34 darjah Celsisus pada 17 hari, dengan lapan hari mencatatkan suhu 35 darjah Celsius atau lebih tinggi manakala suhu maksimum harian tertinggi adalah 36.1 darjah Celsius di Woodlands pada 14 April iaitu suhu tertinggi yang dicatatkan sejauh ini dalam tahun 2023.

Keadaan antara monsun semasa dijangka berlarutan buat beberapa minggu akan datang, dengan suhu maksimum harian masih boleh mencecah 34 atau 35 darjah Celsius pada sebelah petang untuk kebanyakan hari.

Pada sesetengah hari apabila terdapat kurang awan, suhu maksimum harian boleh mencecah setinggi sekitar 36 darjah Celsius.

Related posts

Leave a Comment